Aizen Nasa 2.0

Air Mata Paris

Salam semua,

Dunia dikejutkan lagi dengan serangan pengganas malam Jumaat lepas di Paris yang telah mengorbankan sekurang-kurangnya 129 orang dan menyebabkan lebih dari 350 orang cedera. Antara yang cedera ini, hampir 100 daripadanya berada dalam keadaan kritikal. Ini berita yang saya baca dari BBC.

Serangan ini melibatkan dewan konsert, restoran dan bar. Waktu serangan yang hampir sama memberi bayangan bahawa serangan ini merupakan serangan yang terancang.

Presiden Perancis Francois Hollande menganggap serangan ini merupakan tindakan peperangan dan telah mengisytihar darurat. Beberapa pintu masuk Perancis telah ditutup dan sudah tentu kawalan pintu masuk keluar negara tersebut telah diperketatkan.

Kumpulan pengganas Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS), atau IS atau ISIL atau sesetengahnya dipanggil sebagai Daesh mengaku bertanggungjawab terhadap serangan tersebut dan menyatakan bahawa serangan-serangan yang berlaku ini hanyalah sebagai permulaan.

Mereka buat hal lagi. Setiap kali berlaku kes-kes keganasan seperti ini, nama kumpulan ini akan timbul. Dan keadaan ini amat memberi kesan terhadap isu takut kepada Islam atau lebih dikenali sebagai Islamophobia di seluruh dunia. Penganut-penganut Islam di dunia yang tidak bersalah akan turut menerima tempias terhadap persepsi negatif ini walhal para pelakunya cuma terdiri daripada kumpulan-kumpulan picisan tertentu pelampau yang pada saya tidak memahami erti Islam itu sendiri.

Saya sendiri masih tertanya-tanya kenapa para pelampau ekstrimis ini bertindak sedemikian yang memang bertentangan dengan maksud perkataan Islam itu sendiri iaitu ‘aman’, ‘selamat’ dan ‘damai’? Jika mereka betul-betul faham akan ajaran Islam, kenapa pendekatan mereka bukan menggunakan cara Islam? Jika betullah mereka membawa ajaran Islam yang sebenarnya, mengapa mereka melakukan keganasan terhadap orang Islam sendiri? Mereka ini tidak kenal siapa. Orang Islam pun menjadi mangsa – tengok sendiri kes yang berlaku di Iraq, Syria, dan Lebanon. Orang bukan Islam pun turut menjadi mangsa – yang kerap berlaku sekarang di Perancis. Perekrutan ahli-ahli ISIS ini tengah rancak berlaku di seluruh dunia sekarang.

Dengan keadaan yang berlaku, tindakan yang memang bukan cara Islam, saya tertanya-tanya sebenarnya. Siapakah mereka ini? Kita tahu selama ini ISIS ini ditubuhkan untuk menggulingkan Presiden Bashar Al-Assad di Syria. Siapakah yang membiayai atau menaja kumpulan ini? Siapakah yang menyokong mereka dari aspek membekalkan sumber, senjata, maklumat perisikan dan sebagainya? Adakah orang-orang yang terlibat ini datang dari Asia Barat? Ataupun dari Eropah? Ataupun dari Barat – termasuk Amerika Syarikat? Siapakah yang mencipta mereka?

Satu lagi persoalan yang bermain-main di minda saya, adakah mereka ini betul-betul orang Islam?

Kita jangan lupa keganasan yang dilakukan ISIS ini hadir selepas insiden-insiden yang dilakukan oleh pergerakan Al-Qaeda bermula selepas Saadam Hussien digulingkan di Baghdad. Di situlah bermulanya Al-Qaeda yang berkait dengan ISIS pada hari ini. Dan selepas itu Syria menjadi sasaran. Kita juga tahu selepas Presiden Muammar al-Gaddafi di gulingkan, muncullah beberapa kumpulan pengganas.

Setiap kali peristiwa ini berlaku, sentimen Islamophobia sudah pasti akan menebal. Adakah peristiwa-peristiwa ini berlaku secara spontan ataupun dirancang kerana sebab-sebab sosial tertentu ataupun memang dirancang oleh pihak-pihak tertentu? Adakah pihak-pihak tertentu ini mengambil kesempatan daripada keadaan-keadaan tertentu untuk menimbulkan perasaan islamophobia kerana perasaan islamophobia ini berakar umbi dalam sejarah Eropah sudah sekian lama. Mungkin kes-kes ini merupakan ulangan peristiwa-peristiwa yang telah berlaku di dalam sejarah.

Di bendera tertera kalimah syahadah. Tapi pendekatan tidak seperti yang dilafazkan.

Bendera ISIS. Di bendera tertera kalimah syahadah. Tapi pendekatan mereka tidak seperti yang dilafazkan.

Apa yang saya kesalkan, kumpulan ISIS ini menggunakan nama Islam. Saya amat amat kesal kerana di bendera mereka terpapar kalimah syahadah namun mereka tidak mengamalkan Islam dalam kehidupan mereka setidak-tidaknya hubungan mereka dengan agama-agama lain. Jika mereka betul-betul memahami agama Islam, keganasan ini tidak akan berlaku. Jika Islam difahami dan dipraktikkan dengan betul sebagai cara hidup, orang lain akan terpesona dengan keindahan Islam itu sendiri.

Saya turut bersimpati dengan peristiwa yang berlaku di kota Paris dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak yang tidak berperikemanusiaan ini. Islam bukan keganasan. Kerana keganasan boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja tidak mengira bangsa dan agama.

Di samping kita tertumpu kepada kota Eiffel Tower ini, jangan lupa kekejaman dan keganasan yang berlaku di Palestin yang dilakukan oleh pengganas terhadap Islam. Jangan lupa kekejaman yang berlaku di Myanmar, yang juga dilakukan pelampau-pelampau terhadap Islam. Doakan agar mereka dilindungi dan selamat.

Bilakah kebencian ini akan berakhir?

Salam keamanan buat semua. Pray for Paris. Peace for all.

Nota Kaki: Teringat masa saya pergi kursus 2 hari lepas. Ada seorang saudara dari Egypt turut menyertai kursus tersebut. Ada seorang tanya dia “Are you Muslim?”, dia takut-takut nak mengaku dan tukar topik. Terdetik dalam hati saya, “Islamophibia ini dan berjangkit terhadap Islam sendiri ke?”.

                                 

About author View all posts

aizen

Leave a Reply

%d bloggers like this: