Aizen Nasa 2.0

Ais hitam: perangkap maut pada musim sejuk

Salam semua,

Seperti yang selalu ditayangkan di kaca-kaca televisyen, musim sejuk ini merupakan musim yang indah. Musim sejuk sering dikaitkan dengan salji nan memutih yang meliputi bangunan, rumput, jalan dan sebagainya. Pada musim ini (seperti yang selalu ditayangkan), ramai yang bergembira bermain luncur salji, membuat patung salji (selalunya pada hari perayaan krismas), main baling-baling bebola salji dan sebagainya. Pada mereka yang tidak pernah mengalaminya sendiri, atau hanya datang ke negara-negara pada musim sejuk dalam jangka masa yang singkat, mungkin anda akan beranggapan sedemikian. Namun begitu, tahukah anda pada musim sejuk ini, terdapat risiko-risiko yang turut hadir bersama malah boleh mendatangkan bahaya sehingga membawa maut?

Mungkin tajuk post saya ini boleh memberi bayangan. Izinkan saya berkongsi pengalaman saya pada musim sejuk di Ireland terlebih dahulu. Sepanjang dua kali mengharungi musim sejuk di sini, salji ini sebenarnya dinanti-nantikan. Mengapa? Kerana salji jarang turun di Ireland. Lokasi Ireland yang betul-betul menghadap Lautan Atlantik dan juga pengaruh Gulf Stream (dalam bahasa melayunya Aliran Teluk) menjadikan Ireland selalu menerima tiupan angin hangat yang menghalang pembentukan salji. Salji mungkin akan terbentuk di kawasan tanah tinggi tetapi di kawasan tanah rendah, salji akan turun sekiranya tiada bayu dari Atlantik dalam jangkamasa yang agak lama, yang selalunya jarang berlaku. Jika tidak, hanya hujan yang akan turun dan jika suhu di bawah paras beku, hujan batu (hailstones) akan turun. Bolehlah mengubat rindu kepada salji walaupun bukan salji sebenar.

'Permaidani salju'. Rezeki dapat rasa salji walaupun seketika. Gambar ini saya ambil dalam kampus tempat saya belajar.

‘Permaidani salju’. Rezeki dapat rasa salji walaupun seketika. Gambar ini saya ambil dalam kampus tempat saya belajar.

Di Ireland, ribut merupakan fenomena yang kerap berlaku terutama sekali pada musim sejuk. Ribut ini akan membawa bersama hujan yang banyak dan boleh menyebabkan banjir. Sekiranya suhu berada di bawah takat beku, lapisan air di permukaan tanah, jalan raya dan sebagainya akan membeku dan akan membentuk satu lapisan ais yang merupakan satu perangkap maut terutamanya kepada pemandu-pemandu di jalan raya. Ia dinamakan ais hitam ataupun dalam bahasa inggerisnya ‘black ice’.

Walaupun dinamakan ais hitam. Ais ini tidaklah berwarna hitam. Ia sebenarnya lutsinar dan jernih. Memandangkan sifatnya yang lutsinar dan tidak dapat dilihat terutamanya di jalan raya yang berwarna hitam, dari situlah ais hitam mendapat nama. Walaupun anda lihat keadaan jalan tersebut tiada apa-apa, namun begitu anda harus berhati-hati kerana sekiranya terdapat ais hitam di atas jalan tersebut, anda akan terdedah kepada risiko kemalangan kerana lapisan ais ini boleh menyebabkan kenderaan anda tergelincir. Ais hitam ini akan mengurangkan cengkaman dan geseran kenderaan anda.

Ais hitam ini selalunya akan terbentuk pada waktu lewat tengah malam iaitu ketika suhu turun mendadak (bawah takat beku) dan akan kekal sehingga ke awal pagi. Selalunya ia akan cair dan hilang pada siang hari namun ia bergantung kepada keadaan suhu dan cuaca pada ketika itu.

Dalam gambar ni ais boleh dilihat dengan jelas.

Dalam gambar ini ais dapat dilihat dengan jelas.

Akhbar tempatan melaporkan beberapa kemalangan telah berlaku akibat ais hitam pada musim sejuk kali ini. Antaranya sebuah bas yang membawa 20 kanak-kanak sekolah terbabas apabila bas yang dipandu terbabas akibat jalan yang berais. Kesemua pemandu dan 20 kanak-kanak tersebut terselamat. Ada juga kes kenderaan terbalik akibat gagal dikawal, dan banyak lagi kemalangan akibat ais hitam ini dan anda boleh baca berita tesebut di sini. Pada awal tahun lepas, seorang wanita mati akibat kenderaan yang dipandunya tergelincir dan bertembung dengan sebuah kenderaan lain, juga disebabkan ais hitam. Anda boleh baca berita tersebut di sini.

Akhir kata, kepada rakan-rakan yang menikmati musim sejuk, berhati-hati di jalan raya. Jaga jarak kenderaan anda dengan kenderaan yang lain. Jaga kelajuan anda. Berhati-hati ketika membelok. Sila ikuti perkembangan terkini cuaca tempatan kerana amaran mengenai jalan berais mungkin dapat diketahui dan mungkin dapat membantu anda merancang perjalanan.

Stay safe semua .

                                                      

About author View all posts

aizen

2 CommentsTinggalkan komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *