Aizen Nasa 2.0

Bahasa Melayu dan Kita

Ancaman terhadap Bahasa Melayu ini sebenarnya sudah lama berlaku. Ancaman ini bukan bermakna ancaman dari bahasa-bahasa lain, tetapi kekurangan rasa cinta terhadap Bahasa Melayu itu sendiri. Jadi masalah ini berpunca dari dalam diri kita sebenarnya. Bahasa lain tidak salah. Cuma layanan kita terhadap bahasa lain itu kadang-kadang menganaktirikan Bahasa Melayu sendiri. Sekali lagi, puncanya adalah dari diri kita sendiri.

Saya bersetuju dengan kata-kata Prof Datuk Dr Teo Kok Seong, Felo Utama di Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau berkata penggunaan Bahasa Melayu di kalangan rakyat Malaysia diibaratkan “melukut di tepi gantang”, iaitu sesuatu yang tidak dihargai sangat oleh kerana masyarakat kini tidak lagi menghiraukan kepentingan menguasai bahasa ini dengan baik. Beliau sendiri berbangsa Cina tetapi amat fasih berbahasa Melayu.

Isu ‘scissor salad’ yang heboh diperkatakan sekarang. Seolah-olah sesuatu isu yang sangat besar. Kesalahan tersebut tidak patut berlaku. Tetapi kita ini memperbesarkan perkara ini seolah-olah dunia nak kiamat. Dijadikan isu, kadang-kadang ditokok tambah cerita, tak pasal-pasal buat dosa percuma. Kecoh. Sebab apa? Sebab salah eja Bahasa Inggeris.

Bayangkan jika kesalahan tersebut membabitkan Bahasa Melayu, saya rasa orang akan pandang sepi je, pandang sebelah mata, ataupun tak kisah pun. Kalau ada pun tegur diam-diam. Tak heboh gempar macam ‘scissor salad’ tu. Itulah orang kita.

Kita merasakan diri kita berpendidikan, sangat dihormati dan punyai tarikan apabila berbicara dalam Bahasa Inggeris. Apabila kita bercakap dalam Bahasa Melayu, kita dianggap sebagai tidak berpendidikan dan kurang daya tarikan, mundur, kurang maju.

Kita secara tidak sedar telah meremehkan kedudukan, nilai dan fungsi Bahasa Melayu malah lebih menjulang bahasa-bahasa luar yang dianggap lebih mengikut arus pemodenan. Kita dah tak hormat bahasa kebangsaan kita. Kita memperlekehkan bahasa kita. Kita tak rasa malu pun jika salah berbahasa Melayu. Tetapi jika bahasa lain, kita malu, segan, sangat-sangat khuatir dengan kesalahan. Takut dikutuk dan dikata orang.

Tak kira dari mana pun kita, asal usul kita, kalau kita memegang status warganegara Malaysia, kita perlu menguasai Bahasa Melayu dengan baik kerana penguasaan Bahasa Melayu yang tulen dan baik menggambarkan nilai jati diri kita sebagai warganegara Malaysia.

“Kita tidak lupa Bahasa Melayu, tetapi kita perlu mahir berbahasa Inggeris”

“Kita tidak akan meminggirkan Bahasa Melayu, tetapi kita tahu kepentingan Bahasa Inggeris”

“Kita akan pastikan Bahasa Melayu tidak terabai”

Itulah antara kata-kata pembuat dasar, atau penganjur, ataupun kata-kata sakti bagi menyokong apa yang telah mereka lakukan. Ungkapan-ungkapan ini tidak salah. Namun, adakah mereka memantau? Adakah mereka memastikan perlaksanaan seperti apa yang dikata? Apa yang saya tengok, kata tapi tak kota. DBP seolah-olah harimau hilang taring. Pejuang bahasa dah letih dah nak memperjuangkan. Mereka makin berumur. Mana sokongan lain? Takkan nak harapkan DBP sahaja. Mana sokongan pihak swasta? Ada generasi pelapis tampil? Mungkin ada, tapi sokongan terhadap mereka macam mana?

Saya bagi satu lagi contoh: Osman Baku lawan Oh My English!

Siapa pernah tonton Osman Baku? Siapa pernah tonton Oh My English!?

Anda lihat sendiri pelakon-pelakon dalam kedua-dua siri ini. Siapa para pelakonnya? Berapakah bilangan penaja untuk siri-siri ini? Lihat kekuatan promosi siri-siri ini? Siapa paling hebat promosinya? Kedudukan yang mana lebih tinggi dari segi bilangan penonton?

Saya rasa anda boleh agak jawapannya.

Begitulah nasib Bahasa Melayu sekarang. Ia sebuah bahasa yang lemah. Sebab kita yang melemahkannya. Kita tak menyokongnya, kita tak meletakkannya di tempat yang sepatutnya. Dalam perlembagaan dah terang-terang dinyatakan Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi. Tapi perlaksanaannya cukup lemah. Sebab kebanyakan dari kita tak cintakan bahasa Melayu itu sendiri.

Saya ulang.

Bahasa Melayu sekarang berada dalam keadaan sangat lemah. Bayangkan sekarang sebagai bahasa rasmi pun ia sudah lemah – disebabkan kita sendiri. Apatah lagi diletak sama paras dengan bahasa lain, sudah tentu tak lama lagi ia akan rebah – disebabkan kita sendiri juga. Akhirnya akan jadi bahasa kedua pertuturan. Seperti mana di tempat saya belajar sekarang, Ireland.

Di Ireland, bahasa asal mereka iaitu bahasa Irish atau Gaelic telah jatuh ke tempat kedua bahasa pertuturan setelah pengaruh bahasa Inggeris yang kuat di negara mereka. Hanya tempat-tempat tertentu sahaja di Ireland kita boleh lihat Bahasa Gaelic digunakan sebagai bahasa pertama pertuturan. Namun di kebanyakan kawasan, Bahasa Inggeris menjadi pilihan utama.

Bahasa Gaelic di Ireland masih bahasa rasmi negara tersebut bersama-sama dengan bahasa Inggeris. Namun, kebanyakan generasi muda sekarang di sini tidak tahu/tidak fasih berbahasa Gaelic. Generasi-generasi yang lebih lama boleh berbahasa Gaelic. Saya juga ada belajar sedikit bahasa tersebut dengan mereka. Saya ada ramai kawan Irish kat sini, dan apabila saya bertanya perkara berkenaan bahasa ini, mereka menyatakan bahasa Gaelic ini tidak terlalu diperlukan dan tidak penting berbanding bahasa Inggeris. Pada mereka (generasi muda) di sini, bahasa Gaelic lebih kepada bahasa tradisi sahaja.

Bahasa tradisi? Satu istilah yang menarik.

Adakah Bahasa Melayu bakal menerima nasib yang sama?

                              

About author View all posts

aizen

2 CommentsTinggalkan komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *