Aizen Nasa 2.0

Cerita Ribut Eleanor

Galway dan ribut ni memang tak dapat dipisahkan sebenarnya. Sebelum ini Taufan Ophelia, Ribut Desmond dan bermacam-macam nama lagi, memang fenomena ini selalu berlaku di Ireland terutamanya di bahagian barat yang menghadap Lautan Atlantik. Lautan ini yang memang popular dengan Aliran Teluk (Gulf Stream) ini sejak beberapa tahun ini tidak pernah sunyi dengan cetusan ribut, taufan, puting beliung dan ketidakstabilan inilah yang selalu kami di Ireland ini rasa. Semalam ribut Eleanor ini bermula, dan secara jujurnya saya tak ambil tahu pasal ramalan kaji cuaca sehinggalah angin kuat yang menakutkan semalam.

Sehingga ketika post ini ditulis, angin ribut masih kuat. Tetapi nak cerita kepada anda semua, semalam angin sangat kuat. Saya yang duduk dalam bangunan ni pun boleh dengar bunyi macam puting beliung datang bermula petang semalam. Hari ini cuaca cerah jugak. Tetapi angin masih kuat.

Sebelum itu saya ingin memberitahu anda yang angin ribut tidak sama dengan angin biasa. Angin biasa itu angin biasa la dalam bahasa inggerisnya wind. Tetapi angin ribut yang lebih dikenali sebagai gusts ataupun wind gust ini yang selalu dirisaukan kerana gusts ini ialah angin kencang yang kuat secara tiba-tiba dan boleh mengakibatkan kemalangan nyawa jika tidak kena pada masa dan tempatnya.

Keadaan ribut Eleanor di Galway (Sumber: Connacht Tribune Group)

Apa yang lebih merisaukan mengenai ribut Eleanor ini ialah ia datang secara pakej dengan air pasang tinggi dan menyebabkan kawasan-kawasan yang rendah dinaiki air secara tiba-tiba. Kawasan yang teruk terlibat berhampiran tempat saya semestinya Salthil dan Spanich Arc dan air juga naik ke dalam pusat bandar Galway. Alhamdulilah tempat saya menyewa agak jauh sedikit jadi tidak menerima kesan kenaikan air. Cuma angin ribut nya memang kuat. Pada pendapat saya lagi kuat berbanding Taufan Ophelia yang membadai Ireland Oktober 2017 lepas.

Tempat-tempat lain seperti di Mayo terputus bekalan elektrik. Mengikut berita tempatan, lebih kurang 10,000 penduduk tiada bekalan elektrik akibat ribut ini. Manakala sejumlah lebih kurang 150,000 penduduk di Galway, Sligo, Leitrim, Cavan dan Monaghan juga terputus bekalan elektrik disebabkan ribut ini yang membawa angin ribut/gusts yang boleh mencecah 150km/jam. Gusts ni datang secara tiba-tiba.

Eleanor ini pada saya nama yang cantik. Dalam Greek ia bermaksud bercahaya dan bersinar-sinar. Tetapi lain pula dengan ribut Eleanor ni, badainya membawa kegelapan di sesetengah tempat. Mohon agar anda semua dapat doakan keselamatan kami dalam menghadapi situasi ini dan terima kasih kepada yang menghubungi saya dan bertanyakan keadaan kami di sini.

                        

About author View all posts

aizen

Leave a Reply

%d bloggers like this: