Aizen Nasa 2.0

Garisan Tengah Jalan: Zon Maut Pejalan Kaki

Salam semua,

Saya terpanggil untuk menulis post ini kerana semasa saya pulang ke rumah tadi dengan menaiki kereta, saya masuk ke satu simpang dan saya terkejut kerana ada orang berdiri di atas garisan tengah jalan tu nak melintas. Dah la pakai baju gelap. Keadaan pun gelap masa tu. Di Ireland, pukul 6.00 petang ni dah gelap ketika musim sejuk. Bayangkan kalau saya tak perasan, tak pasal-pasal langgar orang hari ni. Hal ini mengingatkan saya kepada satu peristiwa di Malaysia lebih kurang 13 tahun lepas, masih segar dalam ingatan.

Saya rasa masalah ini adalah masalah global. Bukan sahaja di Ireland, malah di Malaysia juga apa kurangnya. Kebanyakan pejalan kaki masih tidak tahu fungsi garisan tengah jalan raya. Baiklah, saya kongsikan secara ringkas peraturan tiga jenis garisan tengah jalan raya yang selalu kita lihat untuk manfaat kita bersama:

  1. Garisan putus-putus – kenderaan boleh memotong apabila keadaan selamat.
  2. Garisan lurus berganda – kenderaan tidak boleh memotong.
  3. Garisan putus-putus dan lurus – kenderaan di sebelah garisan putus-putus boleh memotong apabila keadaan selamat manakala kenderaan yang berada di garisan lurus tidak boleh memotong.

Tiga jenis garisan ini adalah yang selalu kita jumpa. Ada beberapa lagi yang tidak perlu saya nyatakan di sini.

Antara ketiga-tiga jenis garisan di atas, tidak satupun dinyatakan bahawa garisan-garisan ini adalah ruang perantaraan untuk pejalan kaki singgah semasa melintas. Lihat kata nama yang saya hitamkan itu – “KENDERAAN”. Dengan kata lain, garisan-garisan tengah ini BUKAN untuk digunakan pejalan kaki. Jika anda ingin melintas jalan, sila guna ruangan khas untuk pejalan kaki. Bukan berdiri di tengah jalan menempah maut. Saya tak tahu la dari mana mereka belajar kaedah bertenggek di tengah jalan ni. Saya juga tak terkecuali. Saya pun terikut-ikut juga. Tetapi selepas peristiwa yang berlaku lebih kurang 13 tahun lepas, saya sudah agak fobia nak berdiri di tengah jalan masa melintas.

Gambar hiasan

Gambar hiasan

Ok berbalik kepada cerita 13 tahun lepas lebih kurang….

Pada masa tu, saya berada di dalam bas dari Kota Bharu ke Kok Lanas. Saya bekerja sebagai jurujual di Pengkalan Chepa. Apabila habis kerja pada hari itu, team leader telah hantar saya ke Stesen Bas Kota Bharu dan saya naik bas no 44 ke Kok Lanas/Kem Desa Pahlawan untuk pulang ke rumah. Masa tu saya naik bas jam 8.00 malam. Bas no 44 ni bas berhenti-henti. Jadi peristiwa ini berlaku semasa bas ini berhenti di Nilam Puri, berhampiran Pusat Pengajian Islam Universiti Malaya. Ada seorang jejaka ni, memakai T-shirt putih, saya masih ingat lagi. Beliau turun dari bas di sini. Dari dalam bas, saya nampak beliau melintas jalan, berdiri di garisan tengah jalan dan tiba-tiba beliau dilanggar sebuah kereta Kancil dari belakang. Apa yang saya tak dapat lupa ialah bunyi perlanggaran tersebut, bunyi tulang patah jelas kedengaran. “KRAKKKK”…Allahuakbar. Memang tak dapat lupa. Selepas itu, saya nampak ramai orang berkerumun kat tengah jalan tu dan bas pun bergerak meninggalkan lokasi kejadian.

Kawasan kejadian 13 tahun lepas di Nilampuri, Kota Bharu. Rasanya bas berhenti kat pokok besar sana. Gambar ini saya ambil dari Google Map Street View.

Kawasan kejadian 13 tahun lepas di Nilampuri, Kota Bharu. Rasanya bas berhenti kat pokok besar sana. Gambar ni agak terkini juga, saya ambil dari Google Map Street View.

Mungkin pemandu Kancil tu tak nampak sebab gelap. Atau mungkin Kancil tersebut memandu terlalu laju. Tak tahu lah macam mana ceritanya. Yang pasti, pejalan kaki yang teruk kena. Harap-harap beliau selamat.

Sebab tu la saya agak fobia nak bertenggek kat garisan tengah jalan semasa melintas. Tempat itu bukan untuk pejalan kaki. Malang tidak berbau. Walaupun ajal maut di tangan Tuhan, tapi kita jangan menempah maut.

Pesanan saya kepada pejalan kaki, jangan bertenggek kat garisan tengah jalan tu masa melintas. Sila gunakan zon khas untuk pejalan kaki, sama ada lintasan zebra ke, lampu isyarat ke, jejantas ke. Garisan tengah jalan tu bukan untuk pejalan kaki, tetapi untuk kenderaan. Kita pejalan kaki ni tiada perlindungan pun. Kalau kena langgar memang langsung kena kat tubuh badan. Jadi faham-faham sahajalah impaknya. Ingat tu.

Restoran jejantas di Air Keroh, Melaka.

Restoran jejantas di Air Keroh, Melaka.

Kepada para pemandu sekalian, pastikan anda peka dengan keadaan sekeliling semasa memandu. Jadilah pemandu yang berhemah. Apabila ada orang melintas jalan, perlahankan kenderaan dan beri laluan kepada mereka. Janganlah memecut seolah-olah nak langgar mereka pula. Pejalan kaki ini lebih terdedah kepada bahaya. Jika kemalangan berlaku, akan ada lebih impak kepada pejalan kaki berbanding pemandu.

Jalan raya ini adalah untuk kegunaan kita bersama. Kita perlu bertolak ansur, memberi dan menerima. Jadikan jalan raya ni zon bebas kemalangan hasil sikap bersopan kita semua.

                                    

About author View all posts

aizen

Leave a Reply

%d bloggers like this: