Aizen Nasa 2.0

Guru: Bukan hanya cikgu sekolah semata-mata.

Guru pembina negara bangsa. Itulah tema sambutan hari guru peringkat kebangsaan pada tahun ini. Antara kerjaya yang paling dihormati, tidak dapat dinafikan sumbangan guru sangat besar kepada kehidupan kita. Bermula dari kecil hingga ke dewasa, dari tidak pandai membaca sehingga bergelar sasterawan negara, dari tidak pandai mengira sehingga menjadi pakar matematik terkemuka, dari seorang insan biasa kepada insan luar biasa, semuanya bermula dari guru. Menyebut jasa golongan pendidik ini, teringat saya kepada puisi yang diilhamkan pada tahun 1979 oleh sasterawan Usman Awang.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca

Puisi ini membuatkan saya terkenang kembali zaman saya kecil-kecil dahulu. Ketika saya mula memasuki tadika KEMAS di Kuantan pada tahun 1988, saya sudah lupa nama cikgu tersebut tetapi wajah beliau tetap saya ingat sampai sekarang. Beliau antara insan yang cukup sabar melayan kerenah saya yang manja dan mengada-ngada setiap kali saya tiba di sekolah. Sebab masa tu saya memang tak nak pergi sekolah. Beliau sabar melayan tangisan dan rengekan saya sehingga saya pada masa itu sangat suka ke sekolah.

Dari mula-mula masuk ke sekolah sehinggalah ke universiti, wajah-wajah guru kesayangan saya masih tersemat di hati. Ada yang garang, ada yang sangat baik, ada yang tegas, ada yang kelakar, ada yang selamba, ada yang suka maki hamun dan macam-macam lagi. Walau macam mana pun sikap mereka, tujuan mereka hanyalah satu, untuk melihat anak didik mereka berjaya. Kita juga harus ingat, guru terawal dalam hidup kita bukanlah di sekolah, tetapi IBU dan BAPA kita.

Insan bergelar guru ini merupakan insan yang hebat. Tugas mereka bukan tugas yang mudah dan tidak mudah dipikul semua orang. Justeru itu, guru dianggap sebagai satu tugas yang sangat mulia dan istemewa. Lebih-lebih lagi dalam zaman penuh cabaran masa kini, menuntut pengorbanan dan komitmen yang padu dalam mendidik anak bangsa menjadi insan yang cemerlang, berwibawa dan sentiasa mendapat petunjuk serta keredhaan dariNya.

Seharusnya, kerjaya guru ini seharusnya diangkat dan disanjung bukan sahaja semasa sambutan hari guru sahaja malah sepanjang masa. Dari segi perkhidmatan mereka seharusnya sentiasa dipantau dan ditambah baik, selaras dengan cabaran sekarang, demi memberi keselesaan para guru dalam berperanan mendidik anak bangsa. Yang kelakarnya, apabila tiba hari guru, media-media masa hanya menampakkan guru hanya cikgu dari sekolah sahaja, walhal kerjaya guru ini juga merangkumi kerjaya guru-guru KAFA, guru-guru agama bahkan pensyarah-pensyarah di universiti. Peranan media ini seharusnya lebih menyeluruh, bukan mengangkat satu kumpulan dan meminggirkan kumpulan yang lain yang peranannya turut bersama membina negara bangsa.

Apa yang dikesali, kerjaya yang membina negara bangsa ini – dibebani dengan kerja-kerja pengkeranian yang tidak munasabah, polisi kenaikan pangkat yang tidak konsisten, beban pengajaran yang bertambah, bebanan tugas sebagai ahli jawatankuasa itu dan ini, diberi peranan yang bukan dalam bidang kepakarannya, skim gaji yang liat untuk ditambah baik (skim pensyarah), kecenderungan pihak atasan menyalahkan guru jika pelajar mempunyai masalah disiplin dan sebagainya. Hal ini tidak selaras dengan tingginya sumbangan seorang guru yang menyumbang kepada negara yang dinafikan peranannya. Malah ditambah muatan kerja sehingga menyebabkan guru-guru masa kini ada yang mengalami tekanan emosi akibat beban kerja yang berlebihan.

Bolehkah saya katakan di sini bahawa pembuat polisi yang membebani guru ini tidak menghormati mereka malah hanya menganggap mereka sebagai orang bawahan yang hanya bekerja untuk memenuhi KPI mereka sahaja?

Mengapa pihak pembuat polisi ini tidak mencari jalan bagaimana untuk memastikan golongan guru mendapat keselesaan dan gembira dalam mendidik anak bangsa di samping mendapat masa berkualiti dalam hidup mereka?

Bolehkah saya katakan di sini yang masalah yang berlaku di tanahair kita kini adalah hasil tidak hormatnya kita kepada guru sehingga ilmu yang diajarkan mereka gagal dipraktikkan dengan baik?

Selamat hari guru!

Kredit gambar: Bernama Radio 24

About author View all posts

aizen

Leave a Reply

%d bloggers like this: