Aizen Nasa 2.0

Kebutaan Media Dunia

Salam semua,

Keganasan ini bukan perkara baru. Setiap hari perkara-perkara yang melibatkan keganasan berlaku di seluruh dunia. Skop keganasan ini kita tidak boleh hanya tertumpu kepada isu di Paris sahaja. Ia juga berlaku di negara-negara lain – seperti yang kita ketahui berlaku di Palestin, Lebanon, Myanmar dan juga negara-negara lain. Keganasan ini mungkin berlaku berdekatan dengan kita. Kes-kes rompakan, samun dan pembunuhan juga adalah keganasan. Namun kita tidak terkesan kerana ia tidak berlaku terhadap kita dan juga liputannya tidak terkena kepada kita.

Seperti kes serangan di Paris, ia memberi kesan kepada seluruh dunia. Sehinggakan isu ini menjadi perkara utama Sidang Kemuncak G20 yang diadakan di Turki yang dihadiri oleh pemimpin-pemimpin besar dunia, termasuk Perdana Menteri Malaysia yang merupakan Pengerusi ASEAN. Saya jangkakan isu serangan Paris ini akan mendominasi persidangan sehingga akan meminggirkan perkara-perkara penting lain yang telah dirancang untuk diutarakan lebih awal. Dan perkara ini akan sedikit sebanyak menganggu perancangan asal sidang kemuncak tersebut sebelum ini.

Saya juga terpanggil untuk menulis malam ini disebabkan oleh penggunaan ‘temporary picture profile’ oleh Facebook bagi membolehkan para pengguna menambah profile picture mereka dengan gambar bendera Paris sebagai menunjukkan solidariti mengutuk serangan di Paris. Facebook juga melancarkan ‘Safety Check’ bagi mengetahui status keselamatan pengguna yang berada di kota Eiffel Tower ini. Di tempat saya belajar sekarang, di bangunan kampus utama juga bangunan dipancarkan dengan lampu 3 warga negara tersebut sebagai menunjukkan solidariti. Saya tidak membantah perkara ini, saya memang tidak menyokong keganasan. Tak kiralah sesiapapun yang melakukannya kerana ia mengganggu keharmonian sejagat.

Lampu bagi 3 warna negara Perancis dipancarkan di bangunan utama kampus tempat saya belajar bagi menunjukkan solidariti terhadap serangan di Perancis. Gambar dari Facebook NUI Galway.

Lampu bagi 3 warna negara Perancis dipancarkan di bangunan utama kampus tempat saya belajar .Gambar dari Facebook NUI Galway.

Namun begitu, saya tertanya-tanya, mengapa sekarang dunia hanya tertumpu kepada Paris? Seolah-olah hanya Paris yang terkena serangan yang dahsyat. Seolah-olah hasil serangan ini, Paris akan lenyap dari peta dunia. Setiap hari kita disajikan dengan isu Paris ini. Kalau berita-berita dunia tu usah cakaplah memang dah trending. Tetapi media arus perdana negara kita juga menyajikan isu yang sama.

Kenapa hanya Paris yang mendapat liputan meluas?

Kenapa serangan pengganas di Beirut, Lebanon, yang mengorbankan 40 orang dan mencederakan lebih 200 orang tidak diberi perhatian? Serangan pengebom berani mati ini berlaku sehari sebelum serangan di Paris.

Keganasan dan kezaliman yang berlaku di Palestin. Sedangkan keganasan berlaku di Palestin hampir setiap hari. Malah mereka sedang bertarung sekarang. Nyawa wanita, kanak-kanak, warga emas sudah tidak bernilai. Mereka dibunuh tanpa belas kasihan. Kebebasan mereka disekat. Mereka terkurung di dalam penjara tanpa besi terbesar di dunia. Mereka merempat di negara mereka sendiri. Kenapa tidak diberi perhatian?

Rakyat Islam di Myanmar juga menjadi mangsa kezaliman ekstrimis Buddha. Rumah mereka dibakar. Mereka dihalau dari kediaman mereka. Hak mereka sebagai warganegara mereka direntap. Mereka terpaksa menjadi pelarian dan bertebaran ke serata dunia. Mengapa isu ini tidak diberi liputan meluas?

Apabila ia melibatkan ISIS, maka galaklah para pelapor media mencari, mengorek, menggali dan mencungkil maklumat dan kalau boleh nak melaporkan kepada seantero dunia sehingga kalau boleh, orang yang dah mati pun mereka nak sampaikan liputan. Tetapi jika ia melibatkan kumpulan-kumpulan lain, ia seolah-olah disenyapkan. Dan kalau boleh media-media ini tidak mahu rakyat sedunia tahu. Mata dipejamkan. Mulut dikunci seolah-olah tiada apa yang berlaku.

Ingatkah anda akan perlawanan akhir Piala Dunia tahun lepas antara Jerman dan Argentina? Seluruh dunia tertumpu kepada perlawanan tersebut. Media arus perdana galak membuat liputan seluruh pelusuk dunia. Tahukah anda pada malam perlawanan akhir itu, Zionis Israel galak melancarkan serangan terhadap Palestin?

Mengapa perkara ini berlaku? Adakah sebab ISIS ini membawa nama Islam? Mengapa Islam juga yang ingin dijadikan isu sedangkan status ISIS ini juga kabur. Sedangkan kewujudan Zionis yang memang dah nyata melakukan kezaliman, melanggar undang-undang dunia, merobek hak asasi manusia, disenyapkan.

Mengapa kegilaan ini berlaku? Kenapa media hanya tertumpu kepada isu yang mereka mahu sahaja? Mengapa kebutaan media dunia ini berlaku? Adakah mereka ini betul-betul buta? Ataupun dibutakan? Ataupun tutup sebelah mata sahaja? Ataupun ditutup mata mereka? Ataupun siapa yang menyebabkan mereka buta?

Nota Kaki: Saya kagum dengan usaha yang dilancarkan oleh Bruno Portela bagi turut menunjukkan solidariti terhadap Palestin.Sekurang-kurang yang beliau berbuat sesuatu yang tak mungkin pihak Facebook buat. Anda boleh klik sini untuk turut menunjukkan solidariti. Diharap kita sebagai insan yang mementingkan keadilan sejagat turut serta bagi menyeimbangkan ketidakadilan media ini.

                                                   

About author View all posts

aizen

Leave a Reply

%d bloggers like this: