Aizen Nasa 2.0

Kembara Brussels 2017

Assalamualaikum WBT dan selamat sejahtera. Sementara masih panas dan segar dalam ingatan ni, saya ingin berkongsikan sedikit tentang kembara kami ke Brussels, Belgium pada 22-24 Disember 2017 lepas. Untuk makluman anda semua, kembara kami ini adalah selama 6 hari iaitu 3 hari di Brussels dan 3 hari di Amsterdam. Tetapi untuk post kali ini saya akan fokuskan kepada Brussels sahaja supaya tidak bertindan-tindan dan memudahkan anda ya?

Brussels ialah ibu kota kepada negara Belgium, sebuah negara kecil di dalam Kesatuan Eropah. Kota ini merupakan pusat persimpangan kebudayaan Jerman di utara dan Roman di selatan. Titik pertemuan di Brussels ini telah mewujudkan titik unik percampuran budaya yang mengekalkan identiti bangsanya yang tersendiri. Dengan itu bolehlah dikatakan banyak hasil-hasil pertemuan budaya dapat dilihat di sini. Dari segi bahasanya, dari segi senibinanya dan pelbagai lagi. Kota ini juga berperanan sebagai ibukota/ibunegara kepada negara-negara eropah. Ini adalah kerana persidangan parlimen negara-negara eropah akan diadakan di parlimen Eropah yang juga terletak di Brussels.

Kedudukan Brussels di dalam negara Belgium

Bagaimana untuk ke Brussels?

Seperti biasa, dari Dublin, Ireland, kami ke Brussels dengan menaiki penerbangan Ryanair. Memandangkan Ryanair menawarkan tambang murah buat masa ini, kebiasaannya kami akan merujuk kepada Ryanair terlebih dahulu.  Penerbangan mengambil masa lebih kurang 1 jam 50 minit. Setibanya kami di Lapangan Terbang Brussels (Brussels Airport), kami menaiki bas bernombor 12 menuju ke perhentian Schuman dan seterusnya menggunakan perkhidmatan metro untuk ke pusat bandar Brussels.

Matawang

Matawang di sini adalah Euro (€). Matawang ini merupakan matawang yang digunakan dalam kebanyakan negara Kesatuan Eropah dan memang senang di dapati. Kat Malaysia pun kita boleh buat penukaran matawang ini. Kami memang dari Ireland yang memang menggunakan matawang ini jadi tiada masalah!

Tempat-tempat menarik untuk dilawati

Brussels sangat terkenal mercu tanda, muzium dan coklat. Ada juga yang lain iaitu bir, yang tu saya tak cuba hehehe. Namun saya ingin kongsikan tenpat-tempat yang saya dan isteri telah lawati.

Grand-Place pada waktu siang

Grand-Place/Grote Markt Inilah tempat yang paling kami suka sepanjang kembara kami ke sini. Grand-Place merupakan sebuah dataran utama di Brussels yang dikelilingi oleh bangunan-bangunan yang berumur lebih kurang 300 tahun. Setiap bangunan mempunyai senibina yang unik, cantik, teliti dan mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Grand-Place ini merupakan antara kawasan tarikan pelancong yang utama. Yang paling mengkagumkan lagi, Grand-Place telah diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 1998. Jika anda bernasib baik, akan ada pertunjukan cahaya dan bunyi di sini dan bangunan ini akan bermandi cahaya yang berwarna-warni, mengikut ritma muzik dan anda boleh saksikannya dalam sudut 360 darjah. Semasa kami berada di sini, kami merupakan antara yang bertuah kerana pada 24 November 2017 – 7 Januari 2018, ada pertunjukan bunyi dan cahaya yang dinamakan  ‘Brussels’ Christmas with Sia’ . Jadi tiap-tiap malam kami akan ke sini untuk melihat pertunjukan yang sangat menggamit memori ini.

Manneken Pis

Manneken Pis – Terjemahannya adalah ‘budak kecil kencing’ dalam bahasa belanda. Ia merupakan satu arca gangsa kecil berketinggian 61cm yang diukir berbentuk seorang budak kecil yang sedang kencing ke dalam sebuah bekas tadahan. Manneken Pis adalah simbol yang paling terkenal di kalangan penduduk Brussels. Arca ini menggambarkan unsur-unsur humor dan kebebasan berfikir orang Brussels. Manneken Pis ini terletak hampir dengan Grand Place.

Atomium

Atomium – Atomium adalah binaan mercu tanda di Brussels, yang pada asalnya dibina untuk Pameran Dunia Brussels pada tahun 1958. Atomium ini terletak di Dataran Tinggi Heysel, tempat di mana pameran tersebut berlangsung dan sekarang ia menjadi sebuah muzium. Atomium ini merupakan binaan beberapa buah sfera keluli yang disambungkan dengan batang-batang keluli yang akhirnya berbentuk seperti atom. Anda boleh masuk ke dalam Atomium ini dengan bayaran dan sfera berkedudukan paling tinggi Atomium ini merupakan restoran dan anda boleh lihat seluruh bandar Brussels pada ketinggian ini.

Cathedral of St. Michael and St. Gudula

Cathedral of St. Michael and St. Gudula – Katedral yang siap dibina pada tahun 1519 ini merupakan satu mercu tanda yang penting di Brussels. Namun ia sering pelancong sering terlepas pandang disebabkan lokasinya yang agak tersisih dari pusat kota Brussels.

 

Galeries Royales Saint-Hubert

Galeries Royales Saint-Hubert –  Merupakan sebuah arked membeli-belah yang popular di Brussels. Tapi untuk yang mampu sahaja. Yang menarik mengenai arked ini ialah seni rekabentuk laluan utamanya yang sangat indah dan eksklusif.

Garderobe Mannekenpis

Garderobe Mannekenpis – Sebuah muzium yang menempatkan banyak arca Mannekenpis yang berpakaian kostum yang berbagai-bagai.

 

The Bourse/Beurs

The Bourse/Beurs – Bangunan yang berusia lebih 200 tahun ini pernah menjadi pusat tukaran saham sehingga tahun 1996. Selepas itu bangunan ini dijadikan pusat pameran seni dan juga persembahan kebudayaan. Pada tahun 2018, ia akan dijadikan muzium bir.

Penginapan

Sepanjang kembara kami di Brussels, kami menginap di Windsor Hotel yang beralamat di Place Rouppe 13, 1000 Brussels. Bayaran yang dikenakan kepada kami hanya sebanyak € 106 untuk 3 malam termasuk cukai bandar (city tax). Penginapannya selesa. Ia terletak di dalam pusat bandar dan kami hanya perlu berjalan kaki sahaja untuk ke tempat-tempat tarikan utama terutama sekali Grand Place.

Di samping itu juga, hotel ini terletak berdekatan dengan stesen metro dan ini memudahkan kami ke stesen bas untuk kembara kami ke Amsterdam, Belanda. Yang paling penting di kawasan hotel kami ini juga banyak kedai-kedai/restoran makanan halal dan komuniti Islam senang dijumpai di sini. Hotel ini kami tempah menerusi Booking.Com.

Untuk mencari penginapan yang sesuai di Brussels, saya cadangkan anda agar lihat dalam Booking.Com, kerana di dalam sistemnya, anda boleh memilih sama anda untuk membayar terus semasa tempahan ataupun bayar setelah tiba di hotel. Anda juga boleh membatalkan tempahan secara percuma dalam tempoh tertentu di Booking.Com. Selain itu, anda akan dapat kelebihan jika menempah menggunakan Booking.Com setiap kali anda mengembara. Antaranya anda akan dapat diskaun 10% jika rekod tempahan anda mencecah 5 kali. Anda boleh lawat laman sesawang Booking.Com (Klik sini) untuk meklumat lanjut. Kalau anda bernasib baik, anda akan dapat diskaun 20-30% bagi harga hotel kalau menempah di laman sesawang ini.

Pengangkutan

Setibanya kami di Lapangan Terbang Brussels (Brussels Airport), kami pergi ke perhentian bas di lapangan terbang tersebut dan menaiki bas bernombor 12 untuk ke pusat bandar. Bas nombor 12 ini adalah bas yang memang berulang alik dari lapangan terbang ke pusat bandar. Stesen bas ini terletak di aras -1 (minus one) iaitu satu aras di bawah balai ketibaan. Sebelum menaiki bas tersebut anda perlu membeli tiket. Untuk memudahkan kami, kami telah membeli tiket JUMP 24H iaitu tiket 24 jam yang boleh digunakan di metro, tram dan juga bas termasuk bas ulang alik dari/ke lapangan terbang. Untuk makluman anda syarikat yang menyediakan perkhimatan ini di Brussels ialah The Brussels Intercommunal Transport Company (nama pendek dia STIB-MVIB iaitu nama syarikat ini dalam singkatan bahasa Perancis dan Belanda). Tiket yang kami beli berharga €7.50 seorang untuk 24 jam. Anda boleh pilih jenis-jenis tiket ini mengikut kesesuaian perjalanan/perancangan anda. Tiket ini anda boleh beli di mesin yang disediakan berhampiran stesen bas tersebut kerana harganya lebih murah berbanding jika anda beli daripada pemandu di dalam bas. Maklumat lanjut anda boleh lihat di sini.

Anda boleh beli tiket di sini.

Di Brussels, kami tidak banyak menggunakan pengangkutan awam kecuali untuk ke Atomium yang terletak agak jauh dari pusat bandar. Selain daripada itu kami hanya berjalan kaki kerana tempat-tempat tarikan memang hampir dengan hotel tempat kami menginap. Untuk ke Atomium kami menggunakan metro dan kami masih gunakan tiket 24 jam yang kami beli selepas kami tiba di lapangan terbang.

Di Brussels, terdapat 3 kaedah pengangkutan awam yang utama. Iaitu metro, tram dan bas. Anda boleh mengenali perkhidmatan yang disediakan di stesen dengan melihat simbol seperti M (metro), T (tram) atau B (bas). Namun kadang-kadang ada juga stesen yang ada simbol M tetapi apabila kita masuk ke stesen tersebut, laluan dia adalah T. Itu maksudnya yang laluannya adalah premetro. Premetro ni ialah sistem tram yang dinaiktaraf seperti metro tetapi belum mencapai status metro. Jangan keliru ya. Tapi anda jangan bimbang, janji anda tahu stesen yang anda hendak pergi, anda tidak akan menghadapi masalah.

Stesen metro

Makan Minum

Komuniti Islam di Brussels agak ramai jadi anda tidak akan menghadapi masalah mencari makanan halal. Restoran-restoran kebab sudah semestinya senang didapati di sini. Sepanjang kami berada di sini, selain makan wafel, kami cadangkan anda pergi ke Le Coq de’ Or yang terletak di jalan Boulevard Maurice Lemonnier (dekat dengan hotel yang kami menginap). Kedai tersebut menjual pelbagai jenis ayam dan daging halal. Dari yang mentah sehinggalah yang telah dimasak. Nasi pun ada.  Ayam golek dia sedap. Kedai ini jual ikut timbang dan harganya berpatutan.

Le Coq de’ Or. Dijamin halal.

Tips

  • Pertunjukan bunyi dan cahaya – Pertunjukan ini memang akan diadakan semasa musim Krismas. Jadi saya cadangkan jika anda ingin menyaksikan pertunjukan cahaya dan bunyi ini, datang masa musim Krismas. Memang cantik dan berwarna-warni. Pada musim luar Krismas pun ada juga pertunjukan tetapi masanya tidak tetap. Tetapi pada musim Krismas saya boleh jamin akan ada pertunjukan ini. Pada tahun ini pertunjukannya bertemakan  ‘Brussels’ Christmas with Sia’ . Saya kongsikan video yang saya rakam khas buat pembaca blog saya di akhir post ini nanti.
  • Penyeluk saku – Jenayah ini dilaporkan selalunya berlaku di Brussels.  Ada kawan saya hilang telefon bimbit semasa di Atomium, terus hilang mood bercuti.  Pihak polis selalunya sudah lali kerana kekerapan kes yang terlalu tinggi dilaporkan oleh para pelancong. Mereka akan cuba sehabis mungkin untuk membantu namun faham-faham sahajalah fail kes seluk saku ni memang tinggi. Jadi anda kena berhati-hati. Jangan tunjuk yang anda tu kaya sangat supaya tidak menjadi sasaran mereka. Melainkan anda memang banyak sangat duit dan nak bersedekah. Alhamdulillah kami tidak menjadi mangsa. Walaupun begitu kami memang mengambil langkah berjaga-jaga.
  • Wafel dan coklat – Brussels terkenal dengan wafel dan coklat jadi saya cadangkan anda cuba. Harganya juga berpatutan dan murah. Namun kena tengok kedai juga. Ada juga coklat eksklusif dan mahal antaranya Godiva yang telah kami cuba. Tapi pada saya rasanya lebih kurang sama je. Mungkin saya bukan pakar merasa coklat kot. 

Galeri Gambar

Saya kongsikan gambar-gambar yang sempat diambil di sini. Seperti biasa my zaujah akan jadi penyeri di dalam gambar-gambar ini.

This slideshow requires JavaScript.

Video Istimewa Untuk Anda

Saya telah merakam pertunjukan bunyi dan cahaya semasa berada di Brussels khas untuk anda. Mohon jasa baik anda untuk ‘Like’ dan ‘Share’ ye.

Semoga post ini dapat membantu sedikit sebanyak dalam perancangan anda untuk ke Brussels. Selepas Brussels kami pergi ke Amsterdam pula dan akan dikongsikan dalam post yang akan datang. 

                                          

About author View all posts

aizen

Leave a Reply

%d bloggers like this: