Aizen Nasa 2.0

Kembara Edinburgh 2015

Assalamualaikum semua. Sepertimana yang telah saya maklumkan pada post yang lepas, saya bersama zaujah telah melawat kota Edinburgh pada 23-28 Disember 2015. Pada pendapat saya masa ini merupakan masa yang amat sesuai memandangkan hampir semua staf dan pelajar bercuti sempena hari krismas. Penyelia penyelidikan  saya juga menyarankan agar saya berehat memandangkan saya sudah menyiapkan semua sasaran kerja untuk tahun ini. Jadi tidak salah untuk merehatkan diri serta melupakan seketika kesibukan di makmal. Untuk itu, kami telah memilih untuk ke kota Edinburgh.

Jika kita sebut United Kingdom, sudah pasti ramai orang tertumpu ke kota London. Saya tidak terkejut kerana London ini merupakan ibukota kepada United Kingdom. Saya pernah ke London sekali, iaitu ketika saya mendapatkan visa untuk penyelidikan saya di Canada. Saya pergi balik hari. Tidak saya nafikan kota London sangat indah. Namun begitu ianya amat sibuk.

Tetapi tahukah anda kota Edinburgh juga tidak kurang hebatnya? Kota ini terletak di bahagian utara United Kingdom dan merupakan ibu negara Scotland. Pada pandangan saya kota ini sangat-sangat cantik. Penuh dengan sejarah tersendiri dan dua bahagian utama di dalam Edinburgh tersenarai sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO. Dua bahagian utama ini ialah Old Town dan New Town. Old Town ialah Kota Lama yang tertua di Edinburgh dan binaannya masih kekal sepertimana pada zaman Reformasi Scotland. Manakala New Town, wujud sejak kurun ke-18.

Lokasi Kota Edinburgh

Lokasi Kota Edinburgh (dalam kotak merah).

oldtownnewtown

Kedudukan Old Town dan New Town di Edinburgh.

Apabila kami tiba di Edinburgh, kami amat terpesona dengan rekabentuk binaannya yang masih mengekalkan ciri-ciri asalnya ratusan tahun dahulu. Rasanya macam berada pada zaman dahulu. Memang cantik. Terutama sekali di Old Town yang berdekatan dengan Edinburgh Castle.

IMG_3425

Old Town dari Edinburgh Castle.

Edinburgh Castle

Edinburgh Castle.

New Town dari Edinburgh Castle

New Town dari Edinburgh Castle.

Bagaimana Untuk Ke Sana?

Dari Dublin, Ireland, kami ke Edinburgh dengan menaiki penerbangan Ryanair. Memandangkan Ryanair menawarkan tambang murah buat masa ini, kebiasaannya kami akan merujuk kepada Ryanair terlebih dahulu. Walaubagaimanapun, anda boleh menggunakan Skyscanner ataupun eDreams untuk membuat perbandingan harga. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 1 jam 10 minit.

Matawang

Matawang adalah dalam bentuk GBP ataupun disebut pound sterling. Dari segi cetakan wang, corak wang di Scotland sama ada wang kertas ataupun wang syiling adalah berbeza dengan tempat lain di United Kingdom. Kebiasaannya jika anda menukar wang di negara asal anda ataupun selain Scotland sebelum anda tiba di Scotland, anda akan diberikan wang Bank of England yang juga dalam matawang GBP. Tetapi anda jangan risau, wang Scotland laku di dalam United Kingdom dan juga boleh dibuat tukaran di bank-bank utama dunia. Cuma Scotland ada versi cetakan wang sendiri. Anda boleh baca mengenainya di sini.

Tempat-tempat Menarik Untuk Di Lawati

Edinburgh Castle – Bayaran dikenakan sebanyak GBP 16.50 untuk seorang dewasa. Jika anda memerlukan bantuan panduan audio ataupun buku panduan lengkap istana, bayaran tambahan akan dikenakan. Senarai harga lengkap boleh anda lihat di sini. Ianya amat berbaloi. Di istana ini anda boleh mengetahui sejarah asal Edinburgh itu sendiri. Istana ini sendiri juga terletak di atas batuan yang merupakan leher gunung berapi yang telah wujud ratusan tahun dahulu. Senibinanya yang sangat kukuh, memainkan peranan sebagai kubu, masih kekal gah dan boleh dilihat dari setiap sudut bandar Edinburgh.

The Royal Mile – Nama yang diberi kepada satu rangkaian jalan-jalan utama Old Town. Selepas anda keluar dari Edinburgh Castle, jalan utama itulah The Royal Mile.

Camera Obscura & World of Illusion – Hiburkan diri anda dengan ilusi di sini. Pelbagai ilusi saintifik akan anda lihat di sini. Pusat ini mempunyai lima tingkat dan setiap tingkat ada keajaibannya yang tersendiri. Di tingkat kelima, anda akan diperkenalkan dengan camera obscura yang mana kita boleh meneropong sekitar bandar Edinburgh. Pusat ini terletak di Royal Mile, lepas anda keluar dari Edinburgh Castle ianya di sebelah kiri jalan. Bayaran ialah GBP 14.50 untuk dewasa, GBP 12.50 untuk pelajar yang membawa ID dan GBP 10.50 untuk kanak-kanak berumur 5-15 tahun. Kemasukan adalah percuma bagi umur 5 tahun ke bawah.

St. Gile’s Cathedral – Senibina bersejarah yang terletak di tengah-tengah Kota Edinburgh. Ia merupakan pusat ajaran agama Kristian sejak 900 tahun.

Scott Monument – Monumen yang didedikasikan kepada Sir Walter Scott. Dengan bayaran GBP 4.00, anda boleh naik ke puncak monumen ini dan akan dihadiahkan sijil jika berjaya ke puncak. Kalau tak nak naik pun tak pe. Dari bawah pun dah cukup cantik.

University of Edinburgh – Antara universiti yang tertua di Scotland dan mendapat ranking ke-24 dunia oleh Times Higher Education pada tahun 2015. Ada kampus baru dan lama. Dua-dua cantik.

Princes Street  – Sepanjang jalan ini terdapat kedai-kedai dan butik-butik. Jika anda ingin membeli belah. Inilah tempatnya.

Calton Hill – Tempat yang sesuai untuk melihat keseluruhan bandar Edinburgh. Terdapat juga beberapa monumen yang cantik di sini antaranya National Monument of Scotland, Nelson Monument dan Dugald Stewart Monument.

Arthur’s Seat – Terletak bersebelahan dengan Calton Hill, ia merupakan bekas gunung berapi yang sudah tidak aktif. Di sini anda juga boleh melihat keseluruhan bandar Edinburgh.

Princes Street Gardens – Taman yang cantik berhampiran Princess Street. Tempat paling sesuai untuk mendapat sudut terbaik bagi melihat Edinburgh Castle.

National Museum of Scotland – Muzium tujuh tingkat ini menawarkan anda pelbagai informasi dan sejarah Scotland mahupun dunia. Pameran saintifik dan pusat edutainment kanak-kanak juga terdapat di sini. Antara yang menarik perhatian saya ialah The Millenium Clock. The Millenium clock ini dibina pada tahun 1999 dan akan berbunyi setiap jam. Semasa ia berbunyi, ada cerita yang cuba disampaikan dari jam ini. Anda boleh baca secara detail di sini. Kemasukan ke muzium ini adalah percuma.

Greyfriars Bobby Statue – Patung yang dibina bagi memperingati seekor anjing yang bernama Bobby yang menjadi simbol kesetiaan di Edinburgh. Anjing ini terlalu setia kepada tuannya sehingga ia menjaga kubur tuannya yang telah meninggal dunia selama 14 tahun.

Museum of Edinburgh – Muzium ini terletak di Royal Mile. Sesetengah orang terkeliru dengan National Museum of Scotland. Ia adalah dua muzium yang berbeza. Ini adalah muzium untuk Edinburgh. Segala sejarah, legenda dan koleksi yang melibatkan bandar Edinburgh terdapat di sini. Termasuklah kolar leher dan bekas makanan anjing si Bobby tadi.

Edinburgh Zoo – Agak jauh (anda boleh naik bas ke lapangan terbang dan berhenti di zoo ini).

Penginapan

Setiap pengembara ada pilihan tempat penginapan sendiri. Ada yang menginap di rumah rakan-rakan kerana ia boleh menjimatkan kos penginapan. Bagi yang bujang, anda boleh memilih untuk tinggal di kediaman backpackers.

Bagi pengembara berpasangan macam kami ataupun yang datang bersama anak-anak dan keluarga, penginapan di hotel adalah paling sesuai. Sepanjang lawatan kami di Edinburgh, kami menginap di dua buah hotel iaitu di Piries Hotel, Coates Gardens dan di Cairn Hotel, Windsor Street. Kedua-dua hotel ini terletak di lokasi strategik dan senang untuk kami bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Piries Hotel terletak berhampiran stesen tram jadi kami hanya perlu menggunakan tram untuk ke pusat bandar. Kalau jalan kali pun boleh, lebih kurang 15 minit sahaja. Manakala Cairn Hotel pula terletak dalam pusat bandar dan berhampiran Calton Hill. Jadi kami pergi ke Calton Hill apabila menginap di hotel ini.

Harga yang dikenakan kepada kami untuk Piries Hotel adalah GBP 35.00 semalam bagi bilik standard double. Manakala GBP 57.00 semalam untuk Cairn Hotel. Apa yang best di Cairn Hotel ialah, kami telah menempah bilik small double room. Namun semasa daftar masuk kami telah diberikan family room (2+1 bed) tanpa caj tambahan. Bestkan? Mungkin rezeki kami untuk kembara kali ini.  Secara keseluruhannya kedua-dua hotel ini telah memberi perkhidmatan yang bagus. Kami tiada masalah dengan kedua-dua hotel ini dan menyarankan anda menginap di sini.

Untuk mencari penginapan yang sesuai, saya cadangkan anda agar lihat dalam Trivago ataupun Booking.Com. Namun begitu, tempahan telah saya buat di Booking.Com kerana di dalam sistemnya, anda boleh memilih sama anda untuk membayar terus semasa tempahan ataupun bayar setelah tiba di hotel. Anda juga boleh membatalkan tempahan secara percuma dalam tempoh tertentu di Booking.Com. Kedua-dua laman sesawang ini ada pro dan kontranya. Terpulang kepada citarasa anda. Secara peribadi, saya gunakan Trivago untuk membuat tinjauan, manakala Booking.Com untuk membuat tempahan.

Pengangkutan

Setibanya anda di Lapangan Terbang Edinburgh, anda boleh menggunakan tram menuju ke pusat bandar dengan bayaran GBP 5.00 untuk satu hala. Selain tram anda juga boleh menggunakan bas Citylink Airport (bas bernombor 100) untuk ke pusat bandar. Harga tiket bas ialah GBP 4.50 untuk single adult. Anda perlu mengetahui perhentian yang paling hampir dengan penginapan anda lebih awal. Tidaklah anda terpinga-pinga nanti.

Dalam kembara kami, untuk ke Piries Hotel, perhentian yang terdekat adalah di Haymarket. Manakala untuk ke Cairn Hotel, perhentian terdekat ialah York Place, iaitu perhentian paling akhir dalam pusat bandar.

Terdapat tiga medium pengangkutan utama di bandar Edinburgh iaitu tram, bas dan juga teksi. Untuk berjalan-jalan di sekitar Edinburgh, anda boleh memilih untuk berjalan kaki, menggunakan tram (all day tram/bus sekitar GBP 9.00, single ticket GBP 1.50) dan juga City Sightseeing Hop On Hop Off Bus (GBP 14.00 untuk dewasa dan GBP 6.00 untuk kanak-kanak). Kami memilih untuk berjalan kaki dan menggunakan tram kalau dah tak larat kerana pada saya tram lebih mudah kerana laluannya menghubungkan tempat-tempat utama di dalam bandar Edinburgh. Selalunya kami beli all day tram kerana tiket tersebut bukan sahaja boleh diguna sepanjang hari, malah turut diterima jika anda ingin menaiki Lothian Bus (salah satu perkhidmatan bas di sini).

 Makan dan Minum 

Tiada masalah untuk mendapatkan makanan halal di Edinburgh. Terdapat pelbagai restoran menjual kebab, burger, makanan Thai, makanan Arab, Turki dan juga makanan Malaysia. Harga makanan pula bermula GBP 3.00-4.00 ke atas untuk kebab, dan rata-rata hidangan di restoran adalah bermula GBP 5.00. Untuk jimat bajet, saya sarankan anda bawa bekal ataupun beli di pasaraya. Kami bawa bekal pada permulaan, sekadar persediaan jika susah nak cari kedai makan masa mula-mula sampai. Alhamdulillah banyak kedai makanan halal di sini.

Antara restoran halal yang kami kunjungi:

Kebab Mahal, 7 Nicolson Square, Edinburgh, Midlothian EH8 9BH – Secara peribadi saya suka makan nasi briyani di sini kerana saiz portionnya yang besar dan harganya yang murah. Nama je Kebab Mahal tapi harganya murah. Memandangkan kami makan nasi briyani je di kedai ni, harganya dalam lingkungan GBP 7.50-9.50 bagi setiap hidangan.

The Original Mosque Kitchen & Cafe,  50 Potterrow, Edinburgh EH8 9BT – Kami cuba nasi briyani juga di sini. Portionnya biasa sahaja. Harganya berpatutan tapi tidak semurah Kebab Mahal.

No.1 Kebab, 222 Morrison St, Edinburgh EH3 8EA – Di sini kami bungkus bawa balik. Kami beli burger di sini. Ada pilihan kebab, burger, roti pita serta makanan halal segera yang lain.

Alibaba Kebabs, 24 Dalry Road, Dalry, EdinburghEH11 2BA – Di sini juga kami bungkus bawa balik. Pilihan makanan lebih kurang sama dengan No.1 Kebab. Kat sini kami bungkus set burger dengan ayam gorang. Rasanya memang sedap.

Kentucky Fried Chicken, Meadowbank Retail Park, Meadowbank, Edinburgh, Midlothian EH7 5TS – Kepada sesiapa yang kempunan nak makan KFC. Di sini ada dihidangkan KFC halal.

Tips 

  • Jika anda merancang untuk datang ke Edinburgh pada musim sejuk, kebanyakan monumen, muzium ataupun tempat-tempat menarik akan ditutup pada 25, 26 dan 28 Disember. Jadi rancang perjalanan anda sebaik mungkin. Namun begitu tidak semuanya ditutup. Selalunya tempat-tempat yang anda perlu bayar untuk masuk, kebanyakkannya akan tutup pada tarikh-tarikh ini. Calton Hill dan Arthur’s seat boleh dikunjungi pada kebanyakan masa. Anda boleh mengambil gambar Scott Monumen tanpa perlu naik ke atas. Pintu masuk untuk naik ke puncak Scott Monument akan tutup pada tiga tarikh ini. Patung Greyfriars Bobby terletak di tepi jalan, jadi anda boleh mengunjunginya tidak kira masa. Camera Obscura and World of Illusions hanya tutup pada 25 Disember.
  • Jika anda ingin merasa kemeriahan membeli belah, boxing day pada 26 Disember adalah harinya. Pusat membeli belah akan dibuka pada hari ini dengan tawaran potongan harga yang sangat menarik. Jadi suasana akan menjadi agak sibuk terutamanya di Princess Street.
  • Di sini tandas tidak menggunakan air, guna tisu sahaja. Jadi bawa botol air. Nanti boleh digunakan untuk berwuduk juga.
  • Terdapat banyak wifi percuma di sekitar Edinburgh (di dalam bas,tram, dan juga pusat beli belah).
  • Untuk tiket tram, anda perlu membelinya di mesin yang disediakan. Penting untuk saya ingatkan bahawa mesin ini hanya menerima syiling atau kad kredit/debit sahaja. Tiada baki akan diberikan bagi yang menggunakan syiling.
  • Harga cenderamata di The Royal Mile agak mahal. Antara kedai yang menjual pelbagai cenderamata yang murah ialah The Works yang terletak di Princes Street. Kami memang borong cenderamata di sini.
  • Jika ingin melihat pemandangan bandar Edinburgh, anda boleh ke Calton Hill atau Arthur’s Seat. Pemandangan paling cantik pada waktu pagi dan senja. Perjalanan ke Arthur’s Seat lebih panjang berbanding Calton Hill. Jadi rancang lawatan anda.
  • Bawa lapisan pakaian tambahan kerana cuaca di sini agak dingin.
  • Di sini juga ada penyeluk saku, bukan saku sahaja, beg pun mereka nak seluk. Pernah sekali saya hampir menjadi mangsa namun begitu ada seorang peminta sedekah di tepi jalan menjerit “Hati-hati dengan pencuri!”. Apabila saya toleh, ada seorang lelaki berjalan dekat dengan saya. Mungkin dia sasarkan beg sandang yang saya bawa. Selepas mendengar jeritan peminta sedekah tersebut, lelaki tersebut beralih arah dan berjalan dalam keadaan tergesa-gesa meninggalkan kami sambil mengeluarkan dompetnya. Mungkin ingin menunjukkan yang dia tidak berniat untuk mencuri. Secara umunya kota Edinburgh ini selamat. Cuma ada sesetengah orang sahaja yang melakukan kegiatan ini.

Galeri gambar

Kami kongsikan sedikit gambar sepanjang lawatan kami di sini untuk tatapan anda semua.

This slideshow requires JavaScript.

Klip Video

Saya juga ada menyiapkan satu klip video mengenai kembara ini di Youtube. Klip ini adalah bahagian pertama kembara ini. Anda boleh lihat video tersebut di sini. Saya merancang untuk buat klip bahagian kedua. Namun begitu, saya ada letak sasaran. Sasarannya kecil sahaja. Jika klip bahagian pertama ini mendapat 300 like (thumbs up) dalam Youtube, saya akan siapkan klip bahagian kedua. Mungkin anda boleh bantu saya capai sasaran ini.

Akhir kata, diharap post ini sedikit sebanyak dapat membantu perancangan anda untuk ke kota yang amat indah ini. Jika anda ada sebarang pertanyaan ataupun pengalaman yang boleh dikongsi, bolehkah dikemukakan di ruangan komen di bawah. Selamat melancong.

 

About author View all posts

aizen

2 CommentsTinggalkan komen

  • Salam Nasa, syukur ada entry ni, bleh saya buat rujukan..tq ye..semoga jd ilmu yg bermanafaat utk kaki pengembara..ingat saya lagi dok? Syazmimi..Maherian 1999…hihi

    • Wsalam Mimi, hahaha sorry lambat reply. Dah lama tak berblogging. Sibuk dengan kerja di sini. Yes, ingat lagi…

Leave a Reply

%d bloggers like this: