Aizen Nasa 2.0

Kembara Paris, Kota Cinta Perancis

Assalamualaikum semua. Atas permintaan rakan-rakan, saya akan kongsikan pengalaman saya melawat Kota Paris, ibu negara Perancis. Untuk makluman rakan-rakan sekalian, saya bersama isteri mengembara ke sini pada tahun lepas 2016, lebih tepatnya 1 – 4 Jun 2016. Sudah agak lama. Namun saya rasa informasi yang boleh dikongsikan lebih kurang sama. Saya akan cuba kemas kini dengan yang terkini. Teruskan membaca.

Kita sudah sedia maklum yang Paris ini merupakan kotaraya yang popular di dunia. Ada orang gelarkan kota ini ‘Kota Cinta’. Kalau ke Perancis, kalau tidak ke Eiffel Tower, Paris, memang tidak sah. Mengalir di Kota Paris ialah Sungai Seine, sungai sepanjang 777 kilometer yang merupakan laluan air komersial yang ternama di kota ini.

Paris terkenal dengan muzium-muzium dan mercu tanda seni bina. Musee du Louvre ataupun Muzium Lourve adalah muzium seni yang antara paling banyak dilawati di dunia. Tempat-tempat bersejarah di sepanjang Sungai Seine diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO. Antara tempat-tempat yang terkenal termasuk the Cathedral of Notre Dame de Paris, The Gothic Royal Chapel of Sainte-Chapelle, Menara Eiffel, Grand Palais, Petit Palais, Arc de Triomphe dan Basilika Sacré-Coeur di bukit Montmartre.

Musee du Louvre

Eiffel Tower

Bagaimana untuk ke Paris?

Seperti biasa, dari Dublin, Ireland, kami ke Paris dengan menaiki penerbangan Ryanair. Memandangkan Ryanair menawarkan tambang murah buat masa ini, kebiasaannya kami akan merujuk kepada Ryanair terlebih dahulu.  Penerbangan mengambil masa lebih kurang 1 jam 30 minit.

Matawang

Matawang di sini adalah Euro (€). Matawang ini merupakan matawang yang digunakan dalam kebanyakan negara Kesatuan Eropah dan memang senang di dapati. Kat Malaysia pun kita boleh buat penukaran matawang ini. Kami memang dari Ireland yang memang menggunakan matawang ini jadi terus bawa duit jelah.

Tempat-tempat menarik untuk dilawati

Kota Paris ini memang kita tahu padat dengan pelancong. Jadi kena banyak bersabar sikit dengan kerenah manusia yang berbagai-bagai. Tempat-tempat menarik di Paris adalah berdekatan, jadi anda boleh berjalan kaki dan juga menggunakan pengangkutan awam yang disediakan. Pasal pengangkutan akan saya jelaskan di bawah nanti.

Eiffel Tower – Yes! Sudah tentulah saya akan letakkan ini sebagai pilihan pertama sebab inilah antara tujuan utama kami ke sini. Memang cantik. Terutamanya pemandangan pada waktu malam sebab ada lampu lip lap lip lap setiap jam. Saya kongsikan video yang telah saya ambil di sini. Kita juga boleh naik ke atas menara ini untuk melihat pemandangan seluruh kota Paris. Tetapi dengan sedikit bayaran la. Tapi kalau nak ambil gambar kat bawah tu tak perlu bayar apa-apa. Harga nak naik Eiffel Tower berbeza-beza mengikut tingkat mana yang kita nak naik. Boleh lawat laman web ini : visiteiffeltower.com kalau nak tahu harga.

Musee du Louvre – Muzium ini adalah muzium seni terbesar di dunia. Antara tujuan utama para pelancong datang ke sini adalah untuk melihat sendiri potret Mona Lisa. Malangnya pada hari kami di sana muzium tersebut ditutup kerana kenaikan para air di Sungai Seine. Jadi kami berlegar-legar di luar sahaja.

Tuileries Garden (Jardin des Tuileries) – Taman ini terletak bertentangan dengan Musee du Louvre . Dibuka kepada orang awam pada tahun 1667 selepas Revolusi Perancis, taman ini menjadi tempat rehat dan bersiar-siar orang ramai dan beberapa tugu dan monumen boleh dilihat di sini.

Notre Dame Cathedral – Gereja ini bukan sahaja tempat ibadat, namun merupakan antara gereja Katolik yang terbesar di Paris, dan juga di dunia.

River Seine – Sungai utama di Paris. Popular dengan cruises. Eiffel Tower juga terletak berhampiran sungai ini. Pada hari kami di sana, hujan yang tidak berhenti menyebabkan kenaikan paras air sungai ini dan menyebabkan banjir di beberapa tempat.

Arc de Triomphe – Salah satu monumen yang popular di Paris. Terletak di tengah-tengah bulatan besar yang menghubungkan 12 cabang/jalan. Monumen ini juga dikenali sebagai Place de l’Étoile — the étoile. Monumen ini dibina untuk memperingati insan-insan yang terkorban semasa Perang Revolusi dan Napoleon Perancis. Di bawah monumen ini juga terdapat ukiran bagi memperingati ‘Tentera Yang Tidak Bernama’ dalam Perang Dunia Pertama.

Luxembourg Gardens – Dibina pada tahun 1620, taman yang menghadap Istana Luxembourg  ini kaya dengan lanskap yang cantik berbagai-bagai.

Sacred Heart Basilica of Montmartre (Sacre-Coeur) – Gereja Roman Katolik ini terletak di atas bukit Montmartre, puncak paling tinggi di Paris. Gereja ini paling dekat dengan hotel tempat kami menginap. Masuk percuma. Di sini juga terdapat kedai-kedai cenderamata yang anda boleh beli dengan harga yang berpatutan.

Champs-Élysées Avenue – Ini adalah salah satu cabang dari bulatan terletaknya Arc de Triomphe. Cabang ni merupakan jalan besar terletaknya butik-butik dan kedai-kedai mewah. Kalau korang nak shopping Louis Vuitton (LV) ke, Long Champ ke, Hugo Boss ke, Lacoste ke, Adidas ke, boleh pergi ke sini. Selain tu jenama-jenama seperti Adidas, Benetton, Disney Store, Nike, Zara, H&M, Sephora, Élysée Palace dan Fouquet’s ada juga di sini. Sebab ada 12 cabang dari Arc de Triomphe ni, cara nak tau mana jalan Champs-Élysées Avenue ni senang je. Jalan ni menghadap gerbang Arc de Triomphe ni. Betul-betul selari dengan gerbangnya. Jalan dia besar. Jadi memang senang nak cari.

Ladurée Paris Champs Elysées – Datang Paris ni tak lengkap kalau tak merasa macaroons. Bukan raccoon ye, tapi macaroon. Dia macam biskut, tapi lembut-lembut ada krim kat tengah dia ikut pilihan perisa. Ada coklat, badam, strawberi dan pelbagai. Harga dia mahal sikit kalau kat Ladurée ni. Sebab Ladurée ni mahsyur la dengan macaroon.  Tapi alang-alang sampai Paris, cuba lah sikit kan? Kalau nak macaroon murah, ada saya bagi tips kat bawah. Teruskan membaca.

Panthéon – Dahulunya dibina sebagai gereja. Tapi sekarang ia dijadikan muzium.

Disneyland Paris – Terletak agak jauh dari pusat bandar. Tapi boleh lah kalau nak pergi, bawak anak-anak. Tapi sesiapa yang pandai cakap French ada kelebihan la sebab audio permainan di sini kebanyakannya dalam bahasa French.

La Vallee Village – Ok ini untuk kaki-kaki shopping lagi. Sesiapa yang nak beli barang-barang berjenama dengan harga yang murah, boleh datang ke sini. Dia macam outlet la. Nak beli beg Long Champ murah? Boleh datang sini shopping puas-puas.

Penginapan

Setiap pengembara ada pilihan tempat penginapan sendiri. Ada yang menginap di rumah kawan-kawan kerana ia boleh menjimatkan kos penginapan. Bagi yang bujang, anda boleh memilih untuk tinggal di kediaman backpackers. Bagi pengembara berpasangan macam kami ataupun yang datang bersama anak-anak dan keluarga, penginapan di hotel adalah paling sesuai.

Sepanjang kembara kami di Paris, kami menginap di Nouvel Hotel 18. Kalau anda Google dan taip Nouvel Hotel ni, memang akan banyak keluar di peta. Hotel yang kami menginap adalah di Nouvel Hotel Paris 18, 86 Rue Myrha. Hotel ini agak jauh dari tempat tarikan utama, tapi itu tiada masalah kerana hotel ini berhampiran dengan stesen metro. Metro ni adalah medium pengangkutan awam kami sepanjang berada di sini. Dari hotel ni dalam 5 minit berjalan dah sampai stesen metro. Yang bestnya, hotel kami ni berhampiran dengan Sacre-Coeur, yang gereja atas bukit tu. Dalam 10 minit berjalan sampai.

Hotel ini agak selesa. Sesuai dengan bajet kami iaitu € 180 untuk 3 malam (€ 60 semalam). Ada 2 katil dan ada bilik air sendiri. Ruang tidak lah luas sangat dan tidak lah sempit sangat. Tapi hotel tu untuk tidur je, banyak masa akan diluangkan di luar. Harga penginapan di Paris adalah agak mahal. Jadi kalau nak menginap di bilik yang amat selesa dan betul-betul dekat dengan pusat bandar dan Eiffel Tower, kena sediakan peruntukan yang lebih sedikit.

Untuk mencari penginapan yang sesuai, saya cadangkan anda agar lihat dalam Booking.Com, kerana di dalam sistemnya, anda boleh memilih sama anda untuk membayar terus semasa tempahan ataupun bayar setelah tiba di hotel. Anda juga boleh membatalkan tempahan secara percuma dalam tempoh tertentu di Booking.Com. Selain itu, anda akan dapat kelebihan jika menempah menggunakan Booking.Com setiap kali anda mengembara. Antaranya anda akan dapat diskaun 10% jika rekod tempahan anda mencecah 5 kali. Anda boleh lawat laman sesawang Booking.Com (Klik sini) untuk meklumat lanjut. Saya akan tulis lebih lanjut mengenai Booking.Com ini. Sangat mudah dan berbaloi. Kalau anda bernasib baik, anda akan dapat diskaun 20-30% bagi harga hotel kalau menempah di laman sesawang ini.

Pengangkutan

Kami mendarat di Aeroport Beauvais, Paris. Selepas daftar keluar bagasi, kami menaiki bas Aeroport Paris-Beauvais menuju ke Porte Maillot, Paris. Anda boleh membuat tempahan tiket bas secara atas talian melalui laman sesawang Aeroport Paris-Beauvais untuk mendapat harga yang lebih murah. Ataupun tiket boleh dibeli apabila anda tiba di lapangan terbang. Untuk melihat jadual, harga bas dan membuat tempahan atas talian, anda boleh klik pautan di sini. Perjalanan ke Porte Maillot akan mengambil masa lebih kurang 1 jam 15 minit.

Stesen metro, ada label M.

Setibanya di Porte Maillot, anda perlu membeli tiket metro untuk ke destinasi seterusnya bergantung dengan lokasi  tempat anda menginap. Metro ni merupakan antara sistem pengangkutan utama di sini. Macam sistem keretapi transit aliran ringan di Malaysia (MRT, LRT, komuter gitu). Kalau anda tengok ada simbol ‘M’ atau ‘Metropolitan’, itulah metro. Metro di Paris ni bagi saya sangat teratur tetapi sibuk. Sebab metro ni menghubungkan destinasi-destinasi pelancongan utama dan perhentian-perhentian utama di pusat bandar Paris. Jadi anda tidak akan menghadapi masalah jika menggunakan metro. Selain itu di Paris ada juga sistem komuter yang dipanggil RER (Réseau Express Régional) yang menghubungkan tempat-tempat di luar pusat bandar Paris yang tiada laluan metro. RER ni ada 3 iaitu RER A, RER B dan RER C. RER A adalah keretapi khas untuk ke Disneyland dan juga La Vallee Village. RER B adalah keretapi khas bagi transit ke lapangan terbang Paris Roissy-Charles de Gaulle (CDG) dan Paris-Orly (ORY). Manakala RER C adalah keretapi khas untuk ke Chateau Versailles.

Stesen metro. Dia tulis Metropolitan situ. Sama je.

Ok kembali ke pembelian tiket. Tiket metro/RER ini boleh dibeli di mesin-mesin yang disediakan ataupun melalui kaunter. Tetapi ada juga stesen yang tidak menyediakan perkhidmatan kaunter. Namun begitu, mesin penjualan tiket ada disediakan di setiap stesen, jadi anda tidak perlu risau. Tiket metro pula ada bermacam-macam jenis tiket, bermula dari ‘Single Ticket’ (kat Paris dipanggil Ticket t+), Daily Tickets (Ticket Mobilis), sehinggalah ke tiket mingguan. Memandangkan kami sampai ke Paris pada waktu tengah hari, kami telah membeli set 10 single tickets, dikenali sebagai “carnet” (sebut: kar-nay) untuk lebih jimat kerana ada diskaun 20% berbanding tiket biasa. Tiket-tiket ini boleh digunakan untuk satu perjalanan sahaja, jadi lebih jimat berbanding beli tiket biasa. Untuk hari kedua, kami banyak menghabiskan masa di Disneyland dan La Vallee Village jadi kami beli tiket RER A. Hari ke-3 kami beli Daily Tickets sebab kami banyak berjalan sekitar pusat bandar. Daily Tickets ni berbeza-beza mengikut zon. Kami pilih Zon 1-2 kerana kebanyakan destinasi pelancongan berada di dalam zon ini.

Suasana di Porte Maillot. Memang sesak

Tiket carnet

Untuk maklumat lebih lanjut mengenai sistem transit di Paris, jenis-jenis tiket dan zon-zon di sini, anda boleh layari pautan ini di sini: How to use the Paris Metro subway

Makan Minum

Hari pertama di Paris, kami tidak merancang untuk makan di luar. Jadi sebelum berangkat, kami memang ada bawa bekal yang telah dimasak dari rumah. Supaya tidak kalut mencari makanan setibanya di hotel. Namun begitu, di kawasan hotel kami ada banyak restoran atau kedai-kedai yang menyediakan makanan halal, terutamanya kebab dan makanan India.

Nasi Lemak Paris

Memandangkan kami dah muak makan kebab (sebab kat Ireland pun banyak kedai kebab) jadi kami tempah makanan di Nasi Lemak Paris. Untuk maklumat anda Nasi Lemak Paris ni memang popular, orang Malaysia yang melancong di sini ramai yang menempah di sini. Selain nasi lemak, mereka juga ada menjual juadah lain. Tempahan akan dihantar ke tempat anda menginap, kos penghantaran percuma. Boleh layari laman instagram mereka Nasi Lemak Paris untuk maklumat lanjut.

Tips

  • Komunikasi – Orang Perancis ini sangat cintakan bahasa mereka iaitu bahasa French. Mereka akan memilih untuk berbicara dengan orang lain menggunakan bahasa ini walaupun dengan pelancong. Jadi jangan terkejut jika mereka tidak melayan anda jika anda berbahasa Inggeris. Mereka tahu bahasa Inggeris tetapi memilih untuk tidak menggunakannya. Ayat -ayat asas French seperti ‘Bonjour’ (Hello), ‘Merci’ (Terima kasih), ‘Oui’ (Yes), ‘Excusez-moi’ (Excuse me), ‘Parlez-vous anglais?’ (Bolehkah anda berbahasa Inggeris?) mungkin memadai untuk membolehkan mereka menolong anda jika diperlukan.
  • Penyeluk saku   Ya penyeluk saku memang ramai di Paris dan mereka tertumpu di kawasan-kawasan yang sesak dan ramai orang terutamanya di stesen-stesen metro. Selalunya mereka akan bergerak berkumpulan dan mensasarkan pelancong macam kita. Jadi berhati-hati. Pastikan barangan berharga di letakkan di tempat yang selamat. Mereka bukan target duit dan barang berharga sahaja, mereka sasarkan pasport kita juga. Pasport kita laku tau, sebab antara pasport paling laku di dunia. Masa kami di sana dulu alhamdulillah tiada apa-apa yang tidak diingini berlaku sebab pihak polis dan keselamatan Paris telah mengetatkan kawalan keselamatan di stesen-stesen metro utama dan juga kawasan yang ramai pelancong. Tetapi malang tak berbau. Beringat sebelum kena.
  • Penjenayah-penjenayah atau scammers – Mereka sasarkan kita, para pelancong. Paris ini adalah antara kota yang paling banyak dilawati di dunia untuk sekian lama. Dan negara ini mudah dikunjungi oleh para pelancong terutamanya dari Eropah kerana kebebasan mereka bergerak dalam zon Euro ini. Namun begitu kesempatan ini juga diambil mereka untuk mencari rezeki, biarpun secara haram. Penyangak-penyangak ini akan guna pelbagai cara untuk mendapatkan duit dan barang berharga anda. Banyak sebenarnya kaedah mereka ini, antaranya bagi bunga secara tiba-tiba, lepas tu bila kita ambik depa mintak duit. Ada juga cara depa mintak tandatangan, lepas tu bila kita tandatangan, depa minta duit. Yang pasti mereka akan cuba buat kita panik, tertekan, dan dalam masa yang sama mereka akan curi barang kita. Ada yang tanya kita pandai English ke tak, lepas tu mintak duit. Kita kena hati-hati lah ok. Mereka sasarkn pelancong macam kita dan mereka bergerak secara berkumpulan selalunya. Sekali lagi, HATI-HATI. Saya rancang untuk tulis post khas pasal penyangak Paris ini. Tunggu ya. 
  • Tandas di ParisKat Paris, tandas tidak menggunakan air, guna tisu sahaja. Jadi bawa botol air. Nanti boleh digunakan untuk berwuduk juga.
  • RATP – RATP ini merupakan aplikasi (apps) yang penting untuk anda gunakan di sini. Ia adalah aplikasi untuk sistem transit di Paris, termasuk bas, metro, dan RER. Ada versi lite yang percuma yang bagi kami sudah cukup untuk kembara kami di sini. Dengan aplikasi ini, anda bukan sahaja dapat mencari peta, tetapi juga merancang perjalanan, mengetahui bila bas seterusnya akan datang, mengenalpasti stesen yang berdekatan anda, stesen yang berada di bawah pengubahsuaian/ditutup, maklumat lalu lintas (termasuk tunjuk perasan dan demonstrasi), dan jadual waktu. Apps ini amat membantu kami di sini. Anda cuma perlu masukkan destinasi anda dan apps ini akan menyenaraikan pilihan cara dan pilihan hentian metro untuk anda ke destinasi pilihan. Jika anda tidak pasti stesen Metro mana berada berhampiran, anda hanya perlu semak melalui apps ini. Mudah kan? Namun, sudah tentu anda memerlukan internet untuk menggunakan apps ini. RATP boleh diinstall melalui Google Play atau Apps Store.
  • Papan Coklat – Saya tak tahu nak bagi nama apa tapi kalau anda berada di stesen metro ataupun di tempat-tempat pengangkutan awam, akan ada signboard warna coklat tertulis nama lokasi pelancongan / tempat-tempat menarik. Maksudnya, jika anda berhenti di stesen metro tertentu, akan ada signboard ni menandakan lokasi yang tertulis itu adalah lokasi yang terdekat dengan stesen metro tersebut. Sebagai contoh, Bir-Hakaem adalah stesen metro yang dekat dengan Eiffel Tower, jadi apabila anda berhenti di stesen ini, akan ada papan coklat menandakan anda sudah sampai dekat Eiffel Tower. Cuma ikut anak panah dan anda akan sampai ke destinasi.

    Papan tanda coklat Eiffel Tower di stesen metro Bir-Hakaem

  • Kedai Cenderahati – Anda boleh beli cenderahati dengan harga yang berpatutan di Montmartre, berhampiran dengan Sacre-Coeur.
  • Penjual-penjual jalanan – Selalunya di tempat-tempat popular seperti Eiffel Tower atau Sacre-Coeur, ada penjual-penjual cenderhati jalanan yang menjual key chain atau replika Eiffel Tower atau cenderahati lain dengan harga yang amat murah. Anda boleh dapat 10 key chain dengan harga yang amat murah. Amat murah berbanding jika anda beli di kedai-kedai cenderahati biasa. Tapi anda kena berhati-hati berurus niaga dengan mereka ini kerana penjual-penjual ini kebanyakkannya berniaga secara haram dan anda boleh ditangkap polis semasa sedang berurus niaga.
  • Waktu Masuk Muzium Percuma – Ada beberapa muzium di Paris ini anda boleh masuk tanpa dikenakan sebarang bayaran. Antaranya Musee du Louvre, Musee De Orsay dan beberapa muzium lagi. Dengan syarat, anda datang pada hari Ahad pertama setiap bulan dalam bulan Oktober hingga Mac setiap tahun.
  • Kad diskaun di La Vallee Village – Anda boleh minta kad diskaun 10% di Welcome Centre. Kad diskaun ini tidak memerlukan pembelian minimum. Misalnya jika anda beli beg €60, anda guna kad diskaun ini, anda dapat beli beg dengan harga €54. Namun begitu, anda tidak akan dapat tax refund jika menggunakan kad ini.
  • Macaroon Murah – Harga macaroon di Ladurée adalah agak mahal. Jadi pilihan lain anda boleh cuba adalah McDonald’s di Paris kerana restoren makanan segera ini juga ada menjual macroon dengan harga yang murah.

Peniaga jalanan. Memang mereka jual harga murah. Tapi hati-hati.

Galeri gambar

Kami kongsikan sedikit gambar sepanjang lawatan kami di sini untuk tatapan anda semua. Seperti biasa my wifey adalah model rasmi blog kembara kami .

This slideshow requires JavaScript.

Klip video

Saya juga ada muat naik klip video persembahan lampu Eiffel Tower pada waktu malam. Anda boleh melihat video tersebut di Youtube dengan klik pautan di sini.

Akhir kata, diharap post ini sedikit sebanyak dapat membantu perancangan anda untuk ke kota romantis ini. Jika anda ada sebarang pertanyaan ataupun pengalaman yang boleh dikongsi, bolehlah dicoret di ruangan komen di bawah. Terima kasih.

About author View all posts

aizen

Leave a Reply

%d bloggers like this: