Aizen Nasa 2.0

Parkrun – hanya 5km seminggu sahaja

Salam semua,

Semalam saya ada menyentuh sedikit mengenai Parkrun. Dalam post kali ni saya nak ceritalah serba sedikit mengenai aktiviti Parkrun ini. Parkrun ini merupakan aktiviti rutin mingguan yang dijalankan di seluruh dunia. Konsepnya mudah sahaja – anda hadir setiap Sabtu, lari atau jalan sejauh 5km dan masa anda akan direkodkan. Itu sahaja. Anda nak bergolek ke, nak merangkak pun boleh..tapi jarak dia 5km. Anda hadir setiap Sabtu (ada tempat yang adakan aktiviti ni hari Ahad atau kedua-dua hari) di tempat yang ada aktiviti ini dan kebiasaannya larian akan bermula jam 9.30 pagi.

Sejarahnya, Parkrun ini diasaskan pada tahun 2004 di Bushy Park, UK oleh Paul Sinton-Hewitt. Pada masa itu, hanya 13 orang sahaja yang memulakan larian Parkrun ini. Selepas itu ia terus berkembang dan sehingga 27 September 2015, terdapat 741 tempat yang menjalankan aktiviti ini di beberapa negara di dunia seperti UK, Australia, Afrika Selatan, Ireland, Poland, Republik Czech, Russia, New Zealand, Denmark, Amerika Syarikat, Singapura, Itali, Perancis dan Jersey.

Lokasi-lokasi Parkrun di seluruh Ireland.

Lokasi-lokasi Parkrun di seluruh Ireland.

Kalau kat Ireland, ada lebih kurang 38 lokasi larian Parkrun di seluruh negara. Anda boleh lihat dengan lebih lanjut melalui laman web Parkrun Ireland. Jadi anda boleh pergi ke tempat-tempat yang berhampiran dengan anda. Begitu juga dengan negara-negara lain, kita cuma perlu ke laman web Parkrun negara berkaitan dan di situ ada ditunjukkan tempat-tempat larian bagi negara tersebut.

Lepas daftar, anda akan dapat barcode, cetak barcode ni dan bawa bersama nanti.

Lepas daftar, anda akan dapat barcode, cetak barcode ni dan bawa bersama nanti.

Sebelum datang untuk berlari 5km ini, anda perlu mendaftar terlebih dahulu. Tujuan pendaftaran adalah untuk mendapatkan kod bar (barcode) yang akan diimbas untuk merekod masa larian anda. Kod bar tersebut perlu dicetak dan dibawa bersama-sama anda. Memandangkan aktiviti Parkrun ini berasaskan aktiviti sukarela, jadi pendaftarannya adalah PERCUMA. Selepas larian anda tamat, masa kat garisan penamat itu, ia akan diimbas (scan) oleh sukarelawan kat situ. Data larian anda akan disimpan di dalam pengkalan data dan akan diberi markah untuk setiap tahun Parkrun tempat anda mendaftar dan juga jumlah larian anda akan direkodkan bagi melayakkan anda menerima kemeja t mengikut tahap yang anda telah capai.

Geng-geng yang turut bersama beriadah.

Geng-geng yang turut bersama beriadah.

Saya selalu beriadah Parkrun ini di Knocknacarra sebab ia berdekatan dengan rumah saya. Saya masih belum dapat apa-apa t-shirt lagi tapi ingin saya kongsikan kepada and tahap-tahap (kat Parkrun di panggil clubs) pelari-pelari berdasarkan jumlah larian yang telah anda habiskan. Tak kisahlah anda jalan ke, pecut ke, merangkak ke, jalan ke belakang ke, janji jika tamatkan 5km, ia dikira satu larian. Jika anda telah berjaya tamatkan 5km ini sebanyak 50 kali, anda layak menjadi ahli ‘club 50’ dan akan diberi t-shirt club 50 berwarna merah. Selepas itu ‘club 100’ – t-shirt hitam, dan ‘club 250 – kalau tak silap saya biru. Bagi junior (umur 17 tahun ke bawah), anda layak menjadi ahli ‘club 10’ dan akan dihadiahkan t-shirt bewarna putih.

Masa jadi sukarelawan, saya jadi timekeeper. Zaujah kena bagi token kepada finisher.

Masa jadi sukarelawan, saya jadi timekeeper. Zaujah kena bagi token kepada finisher. Gambar bawah tu masa taklimat awal sebelum larian.

Aktiviti Parkrun ini tidak berjaya direalisasikan tanpa kehadiran sukarelawan-sukarelawan. Saya tabik dengan sukarelawan-sukarelawan ini kerana sudi meluangkan masa datang untuk anjurkan aktiviti seperti ini. Kalau depa tak ada, kita tak dapat rekod larian. Tahun ni dah 3 kali saya menjadi sukarelawan. Yang paling best jadi marshall sebab boleh jerit-jerit bagi semangat kat pelari-pelari ni.

Tapi pokoknya Parkrun ini adalah satu platform yang amat baik untuk kita kekal aktif. Daripada tidur lepas Subuh tu, pada saya lebih elok kita sertai aktiviti ini sebab satu ianya percuma, kedua kita boleh cergaskan diri, dan yang ketiga kita boleh berkenal-kenalan dengan komuniti kat sini yang rata-rata sangat positif dan saling bantu membantu antara satu sama lain.

p.s. Saya tidak dibayar pun untuk Parkrun ini. Hanya sekadar berkongsi aktiviti-aktiviti yang bermanfaat untuk kita semua. Terutama sekali Malaysian yang duk kat Ireland tu. Lepas habis belajar ni boleh mulakan Parkrun kat Malaysia plak sebab belum ada lagi setakat ini.

                                    

About author View all posts

aizen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *