Aizen Nasa 2.0

Pengalaman dihukum di sekolah

Kes Cikgu Azizan ini membuatkan saya gigit jari. Saya tidak boleh nak tunding jari cakap siapa yang bersalah walaupun berdasarkan berita, dikatakan pihak pelajar yang bermasalah. Itu berdasarkan pembacaan saya la. Ada juga yang cakap ibubapa pelajar tersebut mengambil tindakan undang-undang disebabkan kecederaan serius – dikatakan Cikgu Azizan menampar pelajar tersebut sehingga berdesing telinga. Terkini yang saya terima, mahkamah memutuskan untuk melepaskan tanpa membebaskan beliau daripada pertuduhan. Walau apapun yang terjadi, ada sesuatu yang kita perlu take note daripada kes ini.

Saya tertanya-tanya kenapa sekarang ni ada sahaja konflik antara guru dan pelajar? Saya tak pasti sekarang apa yang bermain dalam minda pelajar-pelajar dan ibubapa ketika berbuat demikian kepada guru mereka? Di pihak guru pun serupa, jika benarlah pelajar itu dicederakan, adakah ia bertujuan menghukum atau ada sebab lain? Mindset mereka macam mana? Mungkin zaman berbeza, mungkin pengalaman saya berbeza. Jadi saya nak kongsikan jugak la sedikit sebanyak pengalaman saya dihukum semasa sekolah rendah dan menengah. Boleh tahan la jugak banyaknya.

Masa saya sekolah rendah dahulu saya berpindah sekolah sekali. Mula-mula saya bersekolah di Sekolah Rendah Kebangsaan Sultan Abdullah (SRKSA), Kuantam, Pahang kemudian berpindah ke Sekolah Rendah Kebangsaan Bachok (Kemudi), Bachok, Kelantan masa darjah 6. Masa saya sekolah di SRKSA, ada jugak rakan-rakan sezaman saya yang nakal dan pada masa tu, cikgu boleh je hukum murid dan kami pada masa tu tak ambik kisah pun. Saya senaraikan yang saya ingat denda-denda yang saya pernah kena dan kawan-kawan saya pernah kena pada masa sekolah rendah:

  1. Saya ingat dulu ada rakan saya budak India, kena kurung dalam almari sebab nakal. Nama Cikgu tu Cikgu Nasa, sama pulak ngan nama saya kan? Masa tu saya masih dalam darjah 2 (kelas 2 Hijau, tahun 1990). Dalam kelas kami masa tu ada satu almari kayu kosong, saya tak ingat dah kenapa budak tu kena kurung, si mamat India tu meraung la “Cigu, cigu tak mau cigu, tolong cigu”. Lepas kena kurung boleh cikgu tu gelak kecil ngan kami, kami pun gelak jugak sebab kelakar. Kena kurung kejap je pun, tak sampai 10 minit. Lepas tu budak India tu tak ambil hati pun, tak mengadu kat mak ayah dia pun, sebab kalau ngadu memang kena tambahan la dari mak ayah dia. Kami pun tak lah nak besar-besarkan isu sebab kami sangat hormat cikgu kami.
  2. Ada dulu budak kelas lain yang kantoi beli tikam dan menang tu, cikgu pun beli satu papan tikam tu, gantung kat kepada budak tu, bawak masuk setiap kelas. Cikgu tu bawak budak tu ke setiap kelas hokey.. lawak tu.
  3. Ni pun masa darjah 2, saya ni suka buat bising, lepas tu ada cikgu tu lalu, dia kawan ayah saya.. dia masuk terus bedal saya dengan pembaris panjang kuning tu. Tapi saya tak da pun nak merepot-repot kat ayah saya sebab saya tahu kalau saya repot, saya akan kena lagi teruk kat rumah.
  4. Teringat masa darjah 4, sebelum cuti sekolah, cikgu Bahasa Melayu ada bagi kerja rumah sebelum cuti sekolah. Dia nak setiap orang poskan dia satu surat tidak rasmi setiap sorang sebab masa tu belajar pasal karangan surat tidak rasmi. Dia bagi alamat. Masa cuti tulis surat dan pos kepada beliau. Lepas cuti kalau siapa tak pos kena lari keliling padang. Masa cuti sekolah tu saya balik Kelantan. Jadi saya tulis surat tu. Cerita la pengalaman balik kampung dan sebagainya dalam surat tidak rasmi tersebut. Lepas je cuti sekolah (2 minggu kalau tak silap), cikgu panggil nama sorang-sorang yang tak pos surat kena lari keliling padang, 5 round kalau tak silap. Ada kawan tu anak cikgu sekolah tu jugak pun tak tulis surat tu. Dia pun kena round padang, tapi takda isu pun.
  5. Masa darjah 5, masa antara matapelajaran, masa tu cikgu tak datang lagi, kami bising dengan budak kelas sebelah. Lepas tu datang cikgu lelaki, suruh beratur depan kelas dapat penampar sorang satu. Pedih jugak dapat penampar tu. Tapi kami tak berdendam pun sebab tu salah kami.
  6. Yang ni saya ingat masa kat Kelantan sebab saya pindah sekolah Kelantan masa darjah 6. Sebab kami akan menduduki UPSR masa tu, memang selalu buat latih tubi. Untuk matapelajaran Bahasa Melayu, kalau latih tubi tu dapat kurang dari 80% (A) akan kena rotan, so saya pernah la kena. 2-3 kali jugak. Rotan kat tapak tangan guna rotan nipis tu. Sekali ‘piap’ je. Tapi pedih, memang terasa sampai habis sekolah. Tapi kami tak berdendam dan merepot pun. Bila dapat A dalam UPSR, kami pegi jumpa cikgu tu cakap terima kasih. Nama cikgu tu Cikgu Zawawi, saya masih ingat.

Ni pengalaman masa kat sekolah menengah pulak. Sekolah menengah saya berpindah sekolah 3 kali. Mula-mula saya bersekolah di Sekolah Menengah Bachok    (1 minggu), lepas tu berpindah ke Sekolah Menengah Dato’ Ismail (2 minggu) lepas tu pindah lagi ke Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ahmad Maher sampailah saya habis SPM. Dalam 2 sekolah menengah pertama tu, takda kena apa-apa sebab 3 minggu je. Yang sekolah ke-3 tu adalah kena hukum ngan cikgu tapi atas kesilapan sendiri jugak. Saya tak ada berdendam apa-apa pun dengan Cikgu, malah jadi kamcing pulak terutama sekali bila dah masuk Tingkatan 5.

  1. Masa tingkatan 1 saya pernah tolak kawan tu jatuh katil. Bengkak kepala dia. Ada orang report kat PK Ko (Penolong Kanan Ko-Kurikulum), Ustaz Mahadi nama dia. Dia panggil saya, kena ‘tipah’ (saya tak tahu perkataan sebenar, tapi tempeleng kena belah belakang kepala tu). Bukan sekali, tetapi berkali-kali. Kena maki. Tapi saya tak da pun nak mengadu kepada keluarga.
  2. Tingkatan 2, saya ingat saya tak siap kerja rumah Kemahiran Hidup. Kena rotan halus tu lagi. 3 kali. Adessss…
  3. Tingkatan 2 jugak, masa ni lambat pegi mandi nak pegi ‘Prep’. Keluar bilik air Ketua Warden dah siap standby dengan batang penyapu libas kat punggung sorang-sorang. Sakit makkk…

Lepas tu saya dah tak kena hukum dah sebab dah pandai cover. Tapi ni saya tengok orang lain kena dengan cikgu sebab masalah disiplin dan kenakalan.

  1. Ada kena rotan depan semua. Dia panggil ‘Public Canning’ sebab hisap rokok. Yang merotannya cikgu disiplin. Ada dalam 5 orang kalau tak silap. Tapi tak da isu selepas tu.
  2. Selalu masa perhimpunan, masa pengetua berucap, kalau ada yang bercakap, pengetua akan panggil berdiri di depan.
  3. Masa tingkatan 5, saya dilantik sebagai exco asrama. Ada satu kes tu budak Tingkatan 3 kantoi mencuri duit tabung Kadet Polis di sekolah. Setelah disoal siasat, budak tu mengaku. Memang kena belasah dengan ketua warden. Tapi selepas tu tiada isu sebab ibubapa budak tu pun tahu anak mereka bermasalah.
  4. Masa tingkatan 5, masa kelas, PK HEM (Penolong Kanan Hal Ehwal Murid) datang dan panggil semua exco asrama ke pejabat beliau. Apabila masuk bilik mesyuarat bersebelahan dengan pejabat PK HEM tu, terkejut kami (exco asrama) sebab semua budak Tingkatan 3 yang tinggal di asrama ada di situ. PK HEM cakap mereka tak mengaku buat bising masa Prep sebab ada seorang warden perempuan menyuruh mereka agar tidak membuat bising masa Prep, tapi ada beberapa orang pelajar yang mengejek warden tersebut dan warden tersebut melapor ke PK HEM. Untuk pengetahuan, PK HEM pada masa tu ketua warden, memang kena paksa la siapa yang buat bising. Budak-budak ni kan jenis setiakawan, memang tak mengaku. Last-last ada yang mengaku. Sebab tak tahan tengok kawan-kawan depa kena bantai. Yang kelakarnya, PK HEM bantai budak-budak tu sambil senyum, kami berdiri situ je sebab PK HEM nak kami jadi saksi.

Yang penting selepas kesemua peristiwa-peristiwa di atas, tiada pun ibubapa datang menyerang guru di sekolah, tiada pun tindakan undang-undang diambil ke atas guru tersebut dan tiada pun pelajar-pelajar masa tu bawak geng nak bantai cikgu-cikgu terbabit. Sebab apa? Sebab kami hormat cikgu dan kami tahu kami bersalah. Dan juga kepercayaan ibubapa kepada guru sangat mustahak. Saya tak tahu bilakah undang-undang yang mengekang guru ini dikuatkuasakan? Saya rasa zaman saya dulu tak da pun. Paling tidak guru disiplin memang ditakuti oleh pelajar-pelajar. Tapi depa tak la nak cari pasal sesuka hati. Mereka akan bertindak jika adanya perlanggaran peraturan, masalah disiplin dan sebagainya.

Guru ni orang yang mengajar kita, memberi ilmu. Seharusnya kita hormat mereka. Jangan sakiti hati mereka. Merekalah ibubapa kita di sekolah. Keberkatan ilmu itu ada dengan mereka. Mereka bukanlah hendak menghukum sesuka hati. Siasatlah mengapa mereka berbuat sedemikian. Mereka tidak mahu anda gagal. Mereka nak kita jadi orang yang berguna.

Kalau adapun guru yang ada masalah, barulah boleh diambil tindakan sewajarnya. Masa saya sekolah dulu pun ada juga guru-guru bermasalah, seingat saya 2 orang sepanjang saya bersekolah menengah. Tapi tak bolehlah sebab tu terus hilang hormat kepada semua cikgu. Tak ramai guru bermasalah. Yang selalu mendatangkan masalah adalah murid-murid atau pelajar-pelajar juga.

Kepada ibubapa, jangan percaya anak-anak anda bulat-bulat walaupun mereka seperti malaikat di rumah. Kena ambil tahu perkembangan anak-anak anda di sekolah. Jangan apabila dah ada kes, baru nak datang sekolah serang guru. Jangan ‘campak’ je anak-anak ke sekolah dan mengharapkan produk akhir.

Guru pun ada hak juga. Kalau pelajar datang serang, tak kan nak duduk diam senyum je. Kalau kena ludah, nak sapu je air liur tu? Kalau kena pukul, takkan nak diam je kat situ tanpa berbuat apa-apa tunggu lebam lepastu baru nak report polis? Adakah ini tatacara yang betul? Pejam mata sahaja? Boleh Kementerian tunjukkan tatacara kalau diserang oleh pelajar? Atau tatacara bertindak kalau diserang oleh ibubapa? Atau geng-geng pelajar? Atau geng-geng ibubapa?

Undang-undang yang digubal seharusnya adil untuk para guru juga, bukan hanya pelajar.  Guru ni bukan hamba pelajar.

 

                        

About author View all posts

aizen

Leave a Reply

%d bloggers like this: