Aizen Nasa 2.0

PhD – Perasaan hasad dengki

Assalamualaikum semua,

Mendengar cerita rakan-rakan sejawat yang tertekan bekerja di tanahair membuatkan saya berasa tawar hati. Saya tertanya-tanya, mengapa kerjaya pensyarah, yang merupakan profesyen yang mulia, dipercayai serta dihormati oleh masyarakat masih lagi mengalami tekanan? Kita akui setiap pekerjaan ada masalah dan tekanannya. Masalah disebabkan tugas hakiki seharusnya perlu diatasi secara professional memandangkan ia merupakan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Rakyat membayar cukai untuk semua pekerja melakukan tugas hakiki.  Tetapi ada juga masalah yang tidak seharusnya wujud dalam dunia akademia ini. Masalah yang datang dari orang bermasalah sehingga memberi masalah kepada orang lain.

Apabila saya cuba mencari puncanya- melalui pengalaman saya sebagai pelajar, melalui pengalaman saya sebagai pensyarah selama lebih kurang tiga tahun sebelum saya melanjutkan pelajaran dan juga mendengar keluhan rakan-rakan seperjuangan yang berkhidmat di tanahair, banyak daripadanya adalah dari sifat hasad dengki. Oh, saya sangkakan, apabila habis belajar nanti, kita hanya membawa pulang segulung ijazah kedoktoran (namanya PhD), pengalaman dan bersedia untuk mendidik anak bangsa. Tetapi, amat menyedihkan kita juga bakal membawa membawa satu lagi ijazah tidak rasmi iaitu juga PhD tetapi Perasaan Hasad Dengki.

Dengki apabila melihat orang itu berjaya membuat kolaborasi penyelidikan sehingga keluar negara, lalu dicari alasan untuk menafikan pencapaian tersebut. Dengki apabila melihat orang itu berjaya menerbitkan kertas berimpak tinggi dalam usia muda, maka diwujudkan halangan-halangan baru bagi menyusahkan golongan ini. Dengki apabila ada pensyarah baru yang tidak masuk ‘team’ mereka, maka diumpat macam-macam, ditabur fitnah dan sebagainya. Dengki apabila pensyarah muda dapat markah cemerlang, tetapi dicari alasan untuk menolak merit tersebut. Dengki apabila ada pensyarah muda yang mampu memberi idea bernas di dalam mesyuarat jabatan/fakulti, maka dicari alasan-alasan untuk menolak idea bernas tersebut. Dengki apabila ada pensyarah yang menjadi pilihan ramai pelajar untuk menjadi penyelia projek tahun akhir, lalu dicari alasan atau diwujudkan polisi dalaman tambahan agar pensyarah tersebut melepaskan para pelajar secara paksa rela. 

Yang kelakarnya, sindrom PhD ini datang dari kalangan ahli akademik yang berjawatan ataupun ilmuan yang bergelar professor, professor madya dan pensyarah kanan yang mempunyai kuasa dalam menentukan polisi. Jadi diwujudkan keadaan-keadaan tertentu bagi menghalang golongan generasi baru ini naik sama aras dengan mereka. Kenaikan pangkat misalnya, walaupun dah cukup syarat ada juga tidak dapat kenaikan pangkat tersebut atas alasan yang kadang-kadang saya dengar tidak seharusnya keluar dari mulut para ilmuan. Sampaikan ada yang berpindah tempat bertugas kerana tidak tahan dengan kerenah jawatankuasa kenaikan pangkat universiti lama. Itulah penangannya ijazah PhD yang satu lagi ni.

Saya tertanya-tanya kenapa sikap ini wujud dalam dunia akademia? Walhal mereka ini golongan terpelajar, ada PhD. Seharusnya mereka dapat mengawal sifat ini kalau boleh tak perlu ada pun dalam jiwa mereka. Sifat kekitaan sudah semakin terhakis. Sifat jatuh menjatuhkan semakin marak bahana perasaan hasad dengki ini.

Perasaan hasad dengki ini wujud disebabkan hati yang kotor, sakit dan berpenyakit. Sifat ini dikategorikan salah satu cabang daripada sifat mazmumah dan sifat yang sangat dibenci oleh Allah SWT. Biasalah dah ada Phd, rasa diri pandai, ujub, bangga diri, ditambah tiupan api syaitan yang membakar, maka ia dan menjadi semacam budaya dalam dunia akademia masa kini.

Saya berdoa mohon dijauhkan dari sikap PhD yang satu lagi ni. Saya juga doakan rakan-rakan akademia yang lain dijauhkan sifat hasad dengki ini. Mudah-mudahan kita semua dapat mengharungi kerjaya murni ini tanpa perasaan hasad dengki kerana sifat ini akan menyebabkan kita hilang berkat dalam bekerja. Nauzubillahiminzalik.

                                             

About author View all posts

aizen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *