Aizen Nasa 2.0

PhD: Tauliah untuk menjadi sombong?

Apabila berada dalam proses menulis tesis ni, saya memang sedia maklum yang dalam banyak-banyak fasa dalam pengajian pascasiswazah, fasa yang paling susah adalah fasa menulis tesis. Bukan sahaja susah dari segi kandungan, analisis dan merit akademik yang perlu kita penuhi, malah kita akan menghadapi kesusahan dari segi rohani, iaitu dari segi semangat untuk meneruskan penulisan, menahan diri dari terpesong dan cenderung untuk membuat kerja-kerja lain (Procrastination) dan sebagainya.

Menulis blog ini pun merupakan salah satu procrastination. Tapi ini adalah rehat saya sebelum meneruskan dengan penulisan.

Patutlah Phd ini orang kata susah. Ya, ia memang susah. Orang yang tidak melanjutkan pengajian sampai ke tahap ini tidak akan mengerti. Ramai yang berjaya, tetapi ada juga yang kecundang. Jadi orang yang telah mendapat ijazah tertinggi yang dianugerahkan oleh universiti ini seharusnya merasa gembira dan bersyukur kerana hasil usahanya membuahkan hasil. Tetapi kita kena ingat tanpa kehendak Allah, sekuat manapun kita usaha, kita tidak akan memperolehinya.

Namun, syukurkah kita?

Saya berkecimpung di dalam dunia akademik iaitu sebagai seorang pensyarah lebih kurang 3 tahun di universiti tempat saya belajar. Untuk makluman, saya belajar di universiti yang sama bagi kursus sarjana muda dan sarjana lebih kurang 7 tahun. Selepas itu saya diterima bekerja di universiti yang sama selama 3 tahun sebelum dihantar melanjutkan pengajian ke peringkat PhD di bumi Shamrock.

Sepanjang saya belajar dan bekerja, saya berjumpa, belajar dan berurusan dengan pelbagai manusia. Dari orang biasa, pelajar, staf akademik, staf bukan akademik, makcik cleaner dan berbagai-bagai. Apa yang menarik minat saya untuk post ini ialah orang-orang akademia. Kadang-kadang saya memerhatikan perubahan sikap mereka ini. Ada yang saya kenal sejak saya belajar lagi. Ada yang saya kenal selepas saya dilantik sebagai pensyarah. Dari dahulu yang merendah diri, senang bersembang semasa belum memperoleh PhD dan apabila memperolehi PhD mereka berubah sikap. Kini mereka lebih berkeyakinan tinggi, suka mencabar idea orang lain, suka menunjukkan mereka tahu segala benda, sentap apabila ditanya soalan, tidak boleh ditegur dan pelbagai lagi. Dahulu sebelum dapat PhD, hanya akur dan menurut, apabila dah ada PhD, ada je yang tak setuju, ada je yang nak dipersoalkan.

Ya, itu yang selalu saya lihat di kalangan akademia kita sebelum dan selepas mendapatkan PhD. Kenapa sebelum mendapat PhD, mereka tidak begini dan selepas mendapat PhD, mereka begini pula? Ya, saya suka memerhatikan sikap manusia dan saya mengingatinya. Benda yang memberi kesan kepada saya memang akan saya ingat sampai bila-bila. Sehinggakan kes saya ditampar senior semasa saya ditingkatan satu dahulu pun saya masih ingat sampai sekarang.

Ada juga saya perhatikan dahulu sebelum memperoleh PhD, cakap pun sopan santun, apabila dah dapat PhD, tona suara dah semakin meninggi.

Tidak dinafikan, ada yang masih tidak berubah seperti dahulu. Masih boleh bergurau, masih boleh melawak ringan-ringan. Makin merendah diri. Tapi maaf cakap, ramai yang selepas dapat PhD, akan ada sifat sombong dan bongkak dalam diri mereka. Mereka merasakan diri mereka lebih pandai, lebih pakar. Mereka merasakan diri mereka tergolong dalam golongan akademia yang hanya layak berbicara isu-isu berfikiran aras tinggi sahaja. Mereka lebih vokal dan berkeyakinan tinggi, kerana pada mereka, merekalah pakar, mereka PhD holder! Sebelum dapat PhD menikus je.

Mengapa?

Sudah ada sifat sombong dan bongkak dalam diri mereka.

Tidak saya nafikan masih ada akademia yang bersifat rendah diri, senang untuk berbicara, mudah bergurau dan saya amat menghormati mereka ini. Tapi bilangannya, sangat sedikit!

Perubahan itu perlu. Dari kurang keyakinan kepada lebih keyakinan, dari malu-malu menjadi lebih berani. Itu perubahan yang bagus.

Tetapi perubahan dari tidak sombong menjadi angkuh itu yang harus dihapuskan. Malangnya hanya segelintir yang mampu menepisnya.

Kadang-kadang melihatkan sikap mereka ini, takut pula saya akan menjadi seperti mereka apabila saya menamatkan pengajian nanti.

“Ya Allah, jauhkanlah aku daripada sifat-sifat mazmumah.” Sebab sifat-sifat mazmumah ini menyamakan kita dengan syaitan.

Apabila kita memperoleh PhD ini, kita menjadi pakar dalam bidang-bidang tertentu dan spesifik sahaja. Bukan menjadi pakar dalam semua hal! Sebab itu saya lebih hormat kepada orang yang tiada PhD tetapi tahu menghormati orang lain daripada orang yang ada PhD tetapi bongkak!

Ya saya tahu proses mendapatkan PhD itu memang sukar. Itu bukan alasannya! Saya pun sekarang sedang berusaha menyiapkan tesis PhD saya!

Adakah PhD ini tauliah yang Allah bagi untuk kita menjadi sombong?

Selamat tahun baharu 2018 untuk anda semua!

 

      

About author View all posts

aizen

Leave a Reply

%d bloggers like this: