Aizen Nasa 2.0

Ramadhan Aku Tunggu Mu Datang

Assalamualaikum WBT dan selamat sejahtera,

Lebih kurang seminggu lagi kita akan menerima kedatangan bulan yang mulia, bulan yang tinggi darjatnya, bulan yang menjanjikan ganjaran seribu bulan, tidak lain tidak bukan Ramadhan Al-Mubarak. Tak sabar rasanya untuk nak menjalani ibadah puasa wajib ini. Yang menariknya, bagi kami yang berada di bumi Ireland ini, waktu berpuasa bakal mencecah 19 jam pada tahun ini, sama seperti tahun-tahun lepas.

Insyallah ini adalah tahun ke-3 saya dan zaujah berpuasa di sini. Untuk makluman rakan-rakan sekalian, di Ireland, bulan Ramadhan jatuh pada musim panas yang waktu siangnya adalah lebih panjang daripada waktu malam. Jadi jika waktu siang lebih panjang, maka sudah tentu tempoh berpuasa di sini adalah lebih lama. Pada musim panas, matahari akan terbit seawal jam 5 pagi dan akan terbenam sekitar jam 10 malam. Jadi tempoh berpuasa di sini adalah lebih kurang 19 jam.

Itulah pengalaman yang tidak dapat kami lupakan semasa berpuasa di sini. Nak saya cerita pengalaman saya? Boleh, tapi sabar dulu ye. Dalam post ini saya tidak mahu tulis panjang-panjang sebab saya akan kongsikan secara panjang lebar apabila tiba bulan Ramadhan nanti. Yang penting, saya memang tidak sabar-sabar menunggu kedatangan bulan ini. 19 jam itu bukan ukuran. Takwim Ramadhan saya dah ambil petang tadi. Kepada rakan-rakan di Galway yang ingin mendapatkan takwim tersebut boleh dapatkannya di kedai-kedai halal di Galway. Saya ambil takwim tersebut di Aroma.

Diharap kita sama-sama bersedia untuk mengetuk pintu Ramadhan ini, kerana pada bulan ini juga, dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan diikat semua syaitan (HR Imam Bukhari, Muslim, Nasai’e, Ahmad dan Baihaqi). Ketuklah pintu-pintu syurga ini, agar ia terbuka untuk kita dan juga dapat melangkah ke dalamnya dengan riang dan gembira. Semoga ibadah puasa kita pada tahun ini adalah lebih baik berbanding ibadah puasa kita yang terdahulu. Hindarlah diri kita dari menjalani puasa yang sia-sia, yang hanya mendapat lapar dan dahaga.

Ramadhan Aku Tunggu Mu Datang.

         

About author View all posts

aizen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *