Aizen Nasa 2.0

Senarai artis veteran yang juga patut dapat Datuk

Terkini, pelakon dan pengarah, Farid Kamil dan artis kelahiran Singapura, Aaron Aziz merupakan antara 169 penerima darjah kebesaran dan pingat Pahang sempena memuliakan ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar, Pekan, kelmarin (16 Disember 2017). Mereka menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk.

Tahniah di atas penganugerahan ini, semoga dengan gelaran ini akan lebih menguatkan momentum mereka untuk terus berjaya di bidang seni.

Sekarang ini agak senang bagi insan-insan dalam bidang seni mendapat gelaran Datuk. Terutama sekali sekiranya mereka mempunyai rating yang tinggi di media sosial, selalu masuk TV kerana dengan kehadiran mereka di media-media tidak kiralah media arus perdana ataupun sosial akan menampakkan sumbangan mereka kepada masyarakat. Saya tidak nafikan sumbangan-sumbangan mereka ini kerana bidang seni ini juga merupakan platform kepada insan-insan seni untuk menyumbang kepada negara.

Tetapi ada juga insan-insan di dalam bidang seni, walaupun tidak ber’rating’ tinggi di dalam media-media masa kini, tetapi sumbangan mereka kepada dalam bidang seni juga signifikan walaupun tidak dari segi kewangan tetapi juga dalam segi moral dalam pembawakan watak dan juga mesej filem yang mendapat tempat di hati masyarakat. Mereka ini, walaupun banyak filem dan sumbangan, namun seolah-olah tenggelam dalam arus dan kadang-kadang masyarakat lupa akan kewujudan mereka ini. Ada juga di kalangan insan-insan seni ini, kita membesar dengan lagu mereka, kita membesar dengan cerita mereka, kita membesar dengan lakonan mereka. Tetapi mereka seolah-olah dilupakan, dan pada saya mereka ini juga patut menerima gelaran-gelaran ini, kerana sumbangan mereka juga tetap signifikan kepada negara.

Mungkin saya boleh selitkan beberapa nama insan seni, yang pada saya orang lama, namun seolah-olah dilupakan jasa mereka dalam bidang seni. Tak salah saya senaraikan beberapa orang yang saya ingat:

Eman Manan (Sumber gambar: Malay Mail Online)

  1. Eman Manan– Siapa tak kenal Eman Manan? Pelakon veteran yang popular pada tahun 80-90an. Pelakon Lelaki Terbaik pada tahun 1984, 1992, 2004 (Pencalonan 8 kali) ini selalu melakonkan watak yang mahir dalam seni mempertahankan diri iaitu silat. Saya tidak pernah lupa drama Pendekar Kundur (1993), beliau membawa watak sebagai Hang Ishak, orang kampung biasa yang diangkat menjadi Laksamana kerana sumbangan beliau kepada masyarakat dan kehebatan beliau dalam bersilat. Beliau juga aktif dalam bidang seni sehingga sekarang dan misi beliau mengangkat seni bela diri melayu yang semakin pudar dalam masyarakat seharusnya mendapat penghargaan. Banyak lagi filem lain yang beliau berlakon mengangkat seni silat sebagai teras watak beliau seperti Keris Hitam Bersepuh Emas (1998), Tok Janggut (1994), Matinya Seorang Patriot (1984), Ops Belantara (1993), Lenjan (1998) dan yang terkini Laga (2014). Dalam Astro ada juga ditayangkan telefilem Orang Kasar (2016), lakonan beliau dan Datuk Jalaluddin Hassan yang pada saya ada mesej penting kepada masyarakat.

    Jalil Hamid (Sumber gambar: Instaonline)

  2. Jalil Hamid – Saya ingat pada masa saya bersekolah rendah dulu, beliau popular dengan lagu Ayam. Lagu ‘Raya’ nyanyian beliau masih lagi menjadi evergreen sehingga kini yang dimainkan di corong-corong radio terutamanya di musim-musim perayaan. Beliau popular sebagai pelawak pada suatu masa dahulu tetapi sekarang beliau banyak membawakan watak-watak yang lebih serius sehingga mampu menitiskan air mata kita. Terkini beliau melakonkan watak ayah di dalam filem Bisik Pada Langit yang pada saya amat mendalam mesejnya. Beliau ini juga ialah penyanyi, pelakon, dan pelawak veteran yang versatil. Boleh melakonkan pelbagai watak, siapa boleh nafikan lagi. Antara filem-filem yang dibintangi beliau ialah Driving School (1990), Queen Control (1992), Wanita Bertudung Hitam (1992), Baginda (1997) dan Zombi Kampung Pisang (2007).

    Faizal Hussein (Sumber gambar: Cinema Online)

  3. Faizal Hussein – Dulu saya ingat beliau melakonkan watak antagonis di dalam drama Hati Waja. Beliau juga membawa seni bela diri sebagai pakej dalam lakonan beliau. Selain berlakon, beliau juga merupakan seorang pengarah dan juga penulis skrip. Antara filem-filem lakonan beliau ialah Darah Panglima (1972), Gila-gila Remaja (1986), Kanta Serigala (1991), Bayangan Maut (1991), XX Ray (1992), Fantasi (1993), Bunohan (2012) sehinggalah filem terbaharu yang hangat sekarang ini iaitu Tombiruo: Penunggu Rimba (2017). Apa yang saya lihat beliau masih aktif sehingga kini dan masih mendapat tempat di hati masyarakat. Seharusnya beliau juga tidak harus dilupakan untuk anugerah-anugerah ini.

    Nasir Bilal Khan (Sumber gambar: Malaysian Access)

  4. Nasir Bilal Khan – Sekarang beliau popular dengan watak Tok Adi di dalam drama Tanah Kubur terbitan Astro. Sebelum ini beliau dikenali kerana lakonan beliau yang bengis, panas baran dan garang. Mula aktif dalam bidang lakonan pada tahun 1993, Nasir Bilal Khan pernah dianugerahkan Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) ke-11 dan ke-12. Beliau juga pernah mendapat anugerah Pelakon Lelaki Terbaik (Kategori Drama) pada tahun 1997, 1998 dan 2005.

    Dian P.Ramlee (Sumber gambar: Media Bergetar)

  5. Dian P.Ramlee – anak angkat kepada Allahyarham Tan Sri P.Ramlee aktif sebagai pelakon sejak tahun 1990 sehingga sekarang. Siapa tak kenal Maria yang kejam dalam drama Lara Aishah (2016) ini. Antara filem-filem lakonan beliau ialah Da Di Du (1981), Janji Diana (2003), Black Maria (2003) sehinggalah yang terkini Langit Cinta (2016). Beliau juga sering muncul dalam drama-drama di televisyen.

    Liza Abdullah (Sumber gambar: Malay Mail Online)

  6. Liza Abdullah – Beliau ialah seorang pelakon dan penyanyi. Terjun dalam bidang seni pada tahun 1980 dan wajahnya sering muncul dalam kaca-kaca TV sehingga kini. Seorang pelakon yang versatil dari seorang yang lemah lembut sehinggalah watak yang kejam, jahat dan bermulut lazer. Beliau adalah pelakon veteran yang ratingnya tidaklah setinggi pelakon baharu sekarang (ada yang dah dapat Datuk lebih awal), namun sumbangan beliau kepada masyarakat tidak seharusnya dipandang sepi dan beliau juga seharusnya mendapat anugerah ini.

    Fauziah Ahmad Daud (Sumber gambar: Mynewshub)

  7. Fauziah Ahmad Daud – Sekarang berumur 55 tahun dan masih aktif, pelakon kelahiran Singapura ini juga banyak menyumbang dalam bidang seni negara sama ada dalam bidang nyanyian, lakonan, pengacaraan, pengarah dan juga penerbit. Siapa tidak kenal watak Azura? Siapa tidak kenal watak Asmidar? Fauziah Ahmad Daud banyak memenangi anugerah di dalam bidang lakonan antaranya Pelakon Harapan Terbalik FFM pada tahun 1980, Pelakon Wanita Terbaik FFM pada tahun 1985, 1986 dan 1987 dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik FFM pada tahun 2016. Beliau menang Pelakon Wanita Terbaik (Drama) pada tahun 2008 dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Filem) pada tahun 2016 dalam Anugerah Skrin. Beliau juga pernah memenangi Pelakon Wanita Terbaik Drama (TV) dalam Anugerah Seri Angkasa pada tahun 2016 dan Pelakon Wanita Terbaik dalam Anugerah Tribute P. Ramlee pada tahun yang sama.

    Ruminah Sidek (Sumber gambar: Yahoo Style Canada)

  8. Ruminah Sidek – Beliau adalah antara pelakon zaman P.Ramlee yang masih hidup sehingga kini dan masih aktif dalam lakonan. Antara drama terkini yang beliau lakonkan ialah watak nenek misteri di dalam drama Misteri Jenazah tayangan Astro. Juga dikenali sebagai Mak Mah, beliau telah berlakon dalam lebih 33 buah filem dan masih berlakon dalam telefilem dan drama-drama sehingga kini. Beliau pernah memenangi anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-21.  Dengan umurnya yang mencecah 80-an, Mak Mah ini pada saya ialah Living Legend yang perlu diberi pengiktirafan sewajarnya.

    Azhan Rani (Sumber gambar: Azhan.Co)

  9. Azhan Rani – Mungkin anda tertanya-tanya kenapa saya letak beliau? Beliau tidak selalu mendapat perhatian media dan tidaklah sepopular artis-artis yang lain. Tetapi kita selalu lihat beliau di dalam drama-drama dan filem TV. Kerana rupa beliau yang agak garang dan serius, Azhan Rani tidak lah diminati media. Tetapi tahukah anda yang beliau telah berlakon hampir 100 drama radio, lebih 40 drama dan juga puluhan filem? Bermula dengan teater selama lebih 12 tahun, beliau bertukar haluan ke lakonan drama atas dorongan pengarah senior Along Kamaruddin.

Mungkin ada nama-nama lain yang saya terlupa atau terlepas pandang. Anda boleh senaraikan di ruangan komen dan nyatakan sumbangan mereka kepada negara dan bidang hiburan yang seharusnya juga mereka mendapat Datuk atau pengiktirafan lain. Mungkin ada yang tidak setuju dengan saya yang mengatakan anugerah ini tidak penting. Tetapi bagi saya, kalau orang lain boleh dapat, kenapa mereka boleh dilupakan kerana mereka juga turut menyumbang kepada negara dalam platform seni. Malah ada sumbangan mereka yang lebih banyak berbanding artis-artis baru sekarang tetapi dapat pulak anugerah dan darjah. Saya tidak menafikan darjah yang telah dianugerahkan kepada orang lain, tetapi nama-nama ini cukup sinonim dalam bidang seni dan kita membesar dengan filem-filem dan lagu-lagu mereka. Jadi sewajarnya mereka dihargai dan tidak dilupakan begitu sahaja.

Adakah kita perlu menunggu sehingga insan-insan ini menghembuskan nafas terakhir baharu hendak diingat dan diberi pengiktrafan?

About author View all posts

aizen

2 CommentsTinggalkan komen

  • Gelaran Datuk yang diterima oleh insan seni sekarang ni bolehlah di anggap sebagai satu hadiah pengiktirafan kepada mereka dalam mewarnai industri nyanyian dan lakonan yang mereka ceburi demi menghiburkan masyarakat berbilang kaum. Memang betul ada beberapa antara mereka yang mungkin terlepas pandang dari pihak tertentu yang melayakan mereka menerim gelaran Datuk selain yg tuan senaraikan. Mungkin perlu ada satu Jawatankuasa seni yang boleh mengenal pasti dan memberi cadangan utk gelaran ini terutama mereka yang sudah berumur dan masih aktif di panggil membuat persembahan. Antara yang saya lihat adalah Sdr Hail Amir (Abdul Hail) yang masih di panggil utk persembahan utk Majlis Perkahwian, Hari Keluarga dan Majlis Korporat bukan saja di Malaysia tetapi Brunai dan Singapura. Gelaran ini tidak lagi bermakna bila mereka sudah meninggalkan kita.

    • Betul… saya pun kurang pasti macam mana gelaran ini diberi. Adakah melalui saranan tertentu ataupun orang yang nak memberi boleh memberi ikut kehendak mereka? Kita gembira la ada yg dapat anugerah tu.. tapi kadang2 ada yang lebih lama dan lebih banyak menyumbang tidak diberi.. nasib baik mereka ini memang ikhlas dalam menyumbang dalam bidang seni dan terus aktif meskipun tidak diberi anugerah..

      Nama-nama yang saya senaraikan di atas tu pada saya memang patut diberi sebab mereka ni pada saya lebih 10 tahun bahkan mereka ni dah ada masa saya kecil lagi.. yang terkejut yang dapat datuk yang saya dah dewasa baru muncul.

Leave a Reply

%d bloggers like this: