Aizen Nasa 2.0

Solidariti

Merujuk kepada Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka, solidariti ini bermakna perpaduan. Jika ditakrifkan, perpaduan ini bermaksud penggabungan, pelaburan persesuaian, kecocokan dan perihal berpadu iaitu bergabung menjadi satu, sepakat dan sebagainya. Jadi maksud solidariti ini adalah meluas, namun tujuannya adalah lebih kepada membina hubungan yang baik antara manusia. Tidak kiralah berbeza agama, bangsa, fahaman politik dan sebagainya.

Jika difokuskan dalam aspek sejagat, solidariti merupakan hubungan erat bersifat toleransi yang diwujudkan secara sengaja di kalangan dan etnik yang berbeza untuk mencapai matlamat bersama secara jujur dan ikhlas.

Rasanya dah jelas maksud solidariti tu.

Tetapi bagaimanakah cara untuk menunjukkan solidariti itu?

Pada pendapat saya, pelbagai cara boleh kita gunakan untuk menunjukkan solidariti. Sebagai contoh, berkabung jika ada musibah berlaku kepada negara, itu solidariti. Cuti umum sekiranya ada kemenangan besar yang bermakna kepada negara, juga solidariti. Memakai baju yang sama warna, seragam bagi sesuatu peristiwa, itu juga solidariti. Solat hajat ramai-ramai minta jauhkan musibah banjir di sesebuah negeri, juga solidariti. Jika kita sepakat, bersatu hati dan sehati sejiwa, maka solidariti itu akan wujud tidak kira siapa kita. Solidariti ini boleh dipaparkan atau ditunjukkan dengan menggunakan pelbagai cara, selagi ia tidak bertentangan dengan agama kita.

Kita lihat kepada peristiwa yang berlaku di Paris baru-baru ini. Pelbagai cara digunakan untuk menunjukkan solidariti sebagai tanda kesedihan atas kematian mangsa serangan, bersimpati dengan keluarga mangsa yang terlibat dan dalam masa yang sama mengecam serangan yang telah dilakukan. Dunia sungguh terkesan. Tidak lupa kepada saudara-saudara seagama kita di Palestin, di Myanmar, di Syria dan di mana-mana sahaja di seluruh dunia. Juga rakan-rakan kita yang lain yang dizalimi, solidariti kita kepada mereka. Semua tidak suka kepada keganasan. Jangan ditunding kepada agama. Para pelaku adalah penjenayah, patut dihukum dengan seadil-adilnya, tidak kira siapa mereka.

Menara Kuala Lumpur dilimpahi lampu 3 warna Perancis tanda solidariti terhadap serangan di Paris

Menara Kuala Lumpur dilimpahi lampu 3 warna bendera Perancis tanda solidariti terhadap serangan di Paris.

Bangunan tertinggi di Bogota, Colombia dilimpahi warna bendera Palestin sebagai solidariti terhadap warganya yang dizalimi.

Bangunan tertinggi di Bogota, Colombia dilimpahi warna bendera Palestin sebagai solidariti terhadap warganya yang dizalimi.

Media-media sosial juga melakukan pelbagai cara untuk menunjukkan solidariti. Sebagai contoh Facebook memberi kita pilihan untuk memasukkan bendera Perancis di dalam ‘profile picture’ kita. Walaupun pada saya Facebook perlu juga menunjukkan solidariti kepada negara lain sebagai contoh Palestin, yang pada saya agak mustahil, tetapi ada juga insan yang turut mewujudkan platform untuk memasukkan bendera Palestin ke dalam ‘profile picture’ sebagai tanda solidarti. Anda boleh klik di sini untuk mencuba.

Saya bersetuju dengan aktiviti seumpama ini. Mungkin ada lagi pihak-pihak yang boleh masukkan bendera negara-negara yang tertindas yang lain. Pada saya tiada apa yang salah. Pada saya tidak menyalahi agama pun.

Apa yang saya kesalkan adalah sikap orang kita yang mengecam, mengherdik, menyindir pihak-pihak yang melakukan aktiviti-aktiviti ini atas alasan-alasan yang pada saya tidak berasas. Sebagai contoh, ada pihak yang mengecam kalau seseorang meletakkan bendera Perancis di dalam ‘profile picture’ sebagai tanda soldariti. Alasannya adalah menyokong orang kafir, illuminati, false flag dan sebagainya. Budaya melabel, memaki di dalam media sosial oleh para ‘penglima papan kekunci’ ini amat menarik perhatian saya.

Adakah menunjukkan solidariti di atas kematian orang-orang yang tidak bersalah / keluarga mangsa dalam serangan tersebut merupakan sesuatu perbuatan yang salah?

Sekalipun ia merupakan operasi false flag/dirancang dan sebagainya, adakah mangsa tersebut mati dengan rela? Adakah rakyat yang menjadi mangsa turut terlibat dalam merancang false flag tersebut? Merancang untuk mati, wajarkah?

Salahkah menunjukkan solidariti kepada bangsa yang tidak seagama dengan kita? Mereka juga manusia seperti kita.

Tahukah anda mungkin orang yang meletakkan bendera Perancis dalam ‘profile picture’ tersebut telah menderma sebanyak USD1000 kepada mangsa kekejaman Israel di Palestin? Ataupun USD1000 di Myanmar? Ataupun kedua-duanya? Atau lebih dari itu?

Kita janganlah pukul rata sahaja. Melabel orang yang letak negara Perancis dalam ‘profile picture’ sebagai menyokong illuminati/ melupakan saudara Islam yang lain/ kafir pada saya perlu dielakkan sama sekali. Kita tidak kenal mereka ini. Mungkin mereka lebih baik daripada kita. Kita sahaja buat dosa kering kerana mengecam mereka. Jika anda tidak suka, tak perlu buat. Tiada paksaan untuk anda melakukannya. Tapi jangan mengecam orang lain.

Menunjukkan solidariti bukan bermaksud menukar agama, murtad, ataupun tunduk kepada telunjuk mereka. Jangan dikecam, diherdik, dimaki dan disindir. Salahkah menunjukkan solidariti? Solidariti ini perlu bagi mewujudkan dunia yang aman dan harmoni.

Kalau nak menegur, biarlah dengan cara berhemah. Bukan dengan cara mencaci dan mengecam orang lain dan bangga dengan status ‘Aku ni mulut lazer’. Walaupun mungkin anda betul. Tapi orang tidak akan senang dengan anda.

Orang akan senang dengan keindahan kita. Secara tidak langsung, solidariti sesama kita dan orang lain akan wujud.

Nota: Kalau nak kecam orang yang tukar ‘profile picture’ tu, kecam lah jugak orang yang sanggup bayar 32 pound nak jadi ahli kelab Manchester United. Baru betul ada sumbangan kepada pihak-pihak tertentu. Kalaulah betul tukar ‘profile picture ‘ tu salah.

About author View all posts

aizen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *