Aizen Nasa 2.0

TPPA – Penjajahan Era Baru?

Lawatan Presiden Amerika Syarikat kali ke-2 ke Malaysia pada Jumaat lepas bagi menyertai 10 ketua-ketua negara anggota ASEAN dalam sidang kemuncaknya yang ke-27 hujung minggu ini telah menjadi satu fenomena di Malaysia. Sesetengah pihak terutamanya kepimpinan negara menganggap kehadiran ketua negara yang dikatakan paling berpengaruh dunia ini merupakan satu pencapaian yang dibanggakan kerana dalam banyak-banyak negara membangun yang ada di dunia ini, Malaysia menjadi pilihan beliau. Tidak kurang juga pihak yang menzahirkan rasa kurang senang kerana lawatan presiden negara Uncle Sam ini lebih banyak tersurat dari tersirat. Antara isu yang hangat bermain di minda rakyat Malaysia sekarang ialah isu TPPA iaitu singkatan kepada Trans-Pacific Partnership Agreement.

Lawatan Barack Obama ke Malaysia pada kali ini pada saya bukan hanya bertujuan untuk mengikuti sidang kemuncak ASEAN semata-mata, tetapi lebih kepada ‘perbincangan bagi memujuk’ kerajaan kita bagi menandatangani TPPA. Beliau juga telah memberi petanda bahawa tempoh 90 hari menandatangani perjanjian telah bermula dan perlu ditandatangani pada Februari tahun depan. Dalam masa 90 hari ini, negara-negara terlibat perlu mengadakan perbincangan di peringkat dalaman mengikut undang-undang setempat dan memutuskan untuk menandatangani perjanjian ini ataupun tidak.

Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed perbincangan sama ada menandatangani atau tidak TPPA ini akan dibuat di Parlimen.  Itu kata beliau pada masa itu. Namun begitu pada dasarnya, TPPA ini tidak perlu diluluskan di Parlimen, sebaliknya ia adalah keputusan eksekutif, iaitu Kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri. Jadi sekiranya majoriti pandangan menyatakan TIDAK SETUJU dalam Parlimen, tidak semestinya kerajaan perlu akur dengan pandangan tersebut.

Kebaikan TPPA yang selalu dicanang oleh media arus perdana

Antara kebaikan TPPA yang selalu dicanang oleh media arus perdana

Apa yang saya lihat, berdasarkan berita-berita yang terpampang di media-media massa, kerajaan lebih cenderung untuk menandatangai perjanjian yang masih belum jelas maksudnya ini. Ketelusan rundingan TPPA masih belum berada pada tahap yang memuaskan. Dalam masa 6 enam tahun kita masih belum jelas tentang kandungan TPPA kerana rundingan dilakukan secara rahsia.  Pada 5 November 2015,  teks sementara akhirnya dikeluarkan. Itupun ianya masih belum difahami, kerana kerajaan lebih nampak baik dari buruk, sedangkan ada pihak menyatakan sebaliknya. Isu pro-TPPA lebih banyak diangkat naik oleh media arus perdana. Manakala isu-konta TPPA seolah-olah tidak timbul.

It’s Our Future, sebuah rangkaian aktivis dari New Zealand amat aktif dalam membantah perlaksanaan TPPA ini. Mereka telah membuat analisis mengenai TPPA ini setelah teks mengenainya dikeluarkan pada 5 November 2015 lepas. Walaupun analisis ini dibuat berdasarkan situasi tempatan yang berlaku di New Zealand, namun secara keseluruhannya, ia bakal memberi impak yang lebih negatif berbanding positif. Saya kurang pasti sekiranya ada analisis terpeinci sedemikian dibuat di Malaysia. Jika ada, mungkin akan dapat diterbitkan agar dapat difahami oleh rakyat marhaen yang tak pandai sangat ekonomi macam saya ni. 

Antara isu besar yang membimbangkan ialah syarikat-syarikat multinasional yang terlibat dalam TPPA ini akan dapat menyaman kerajaan kita jika mereka merasakan dasar-dasar dan perubahan undang-undang yang pada dibuat kerajaan tempatan memberi kesan kepada margin keuntungan mereka. Dengan lain perkataan, kalau syarikat-syarikat ini mendapat kerugian disebabkan polisi atau undang-undang kerajaan tempatan, kerajaan boleh disaman. Andaikata kerajaan kita kalah dan perlu membayar saman, di mana kerajaan nak dapatkan sumber kewangan? Sudah tentulah kita yang bayar cukai – GST, cukai pendapatan dan mana-mana sumber pendapatan yang lain. Kita pun kenalah ‘tolong’ depa bayar saman. Takpe, ‘berkorban’ untuk negara apa salahnya.

Kerajaan Jerman pernah disaman sebanyak 4.7 billion euro oleh Vattenfall, sebuah syarikat gergasi di Sweden atas penutupan loji nuklear Brunsbüttel and Krümme di Jerman. Penutupan loji ini adalah atas keputusan kerajaan Jerman pada masa itu rentetan daripada peristiwa di Fukushima Daiichi di Jepun. Akibatnya, Vattenfall mengalami kerugian dan bertindak menyaman kerajaan Jerman. Anda boleh baca salah satu berita mengenainya di SINI.

Phillip Morris, sebuah syarikat gergasi rokok dan tembakau pernah menyaman kerajaan Australia kerana peraturan penyeragaman pembungkusan produk rokok yang mengancam pemilikan intelek mereka. Macam ni saya jelaskan lebih kurang, kerajaan Australia menyeragamkan bungkusan rokok sebab nak nak mendidik rakyat Australia tentang bahayanya merokok. Jadi bungkusan yang dibuat tu tak menarik dan mengancam, tak ada design menarik yang direka oleh syarikat Phillip Morris ni. Jadi Phillip Morris ni marah la, sebab tak guna design dia. Orang tak akan tertarik dengan design plain je. Jadi mereka putuskan untuk saman kerajaan Australia sebab dengan plain packaging sedemikian, syarikat menjadi rugi disebabkan orang ramai tidak tertarik untuk membeli produk rokok mereka. Salah satu info saya kongsikan di SINI.

Jangan anggap kes ini tidak akan berlaku di Malaysia. Jika TPPA ditandatangani, kebarangkaliannya akan meningkat lebih tinggi.

Keadaan ini bakal menggugat hak kerajaan untuk merangka undang-undang bagi membela kepentingan ekonomi domestik. Terutamanya di Malaysia yang mempunyai pelbagai rangka ekonomi dan perancangan bagi membela rakyatnya yang berbilang kaum, terutamanya kaum bumiputra. Sudah tentu perkara ini akan membantutkan perancangan kerajaan. Ataupun, adakah kerajaan tidak akan merancang lagi setelah TPPA ini ditandatangani atas alasan mahu rakyat tempatan lebih berdaya saing, walaupun dengan lawan yang tidak setanding dengan mereka? Seolah-olah TPPA ini perlu dipertimbangkan terlebih dahulu sebelum penggubalan dasar dibuat oleh kerajaan yang dipilih secara demokrasi oleh rakyat.

Adakah kita meletakkan satu kuasa besar mengatasi kerajaan Malaysia yang dipilih oleh rakyat?

Selain itu, isu kenaikan harga ubat-ubatan juga perlu diambil perhatian. TPPA akan menyebabkan harga ubat bakal meningkat kerana dominasi syarikat-syarikat besar dunia ke atas perbekalan ubat-ubatan tempatan. Sekatan terhadap ubat-ubat generik juga akan berlaku. Dengan kata lain, kita akan membayar lebih bagi ubat-ubatan yang dipatenkan – sudah pastinya datang dari syarikat-syarikat besar dunia berbanding ubat generik yang lebih murah sebelum ini. Hal ini akan menyekat pembekal-pembekal ubat generik tempatan dan akhirnya akan mendapat kerugian, tak mustahil juga mereka akan gulung tikar.

Ancaman TPPA dalam sektor ubat-ubatan negara.

Ancaman TPPA dalam sektor ubat-ubatan negara – Sumber seperti tertera

Terdapat pertentangan kenyataan mengenai isu harga ubat hasil TPPA ini. Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, TPPA tidak akan menyebabkan kenaikan kos perubatan dalam sektor farmaseutikal. Manakala dalam lawatan Presiden Barack Obama Jumaat lepas, beliau menyatakan sebaliknya. Pada pendapat saya, kenyataan Barack Obama mungkin lebih bersifat umum. Namun jika merujuk kepada DS Mustapa, mengapakah harga ubatan tidak akan naik? Adakah disebabkan polisi kerajaan yang melindunginya? Ataupun jika kenaikan harga tersebut berlaku, adakah ini adalah komitmen kerajaan untuk menampung kenaikan tersebut tanpa membebankan rakyat? Saya berharap kenyataan beliau tidak hanya valid pada masa itu sahaja.

Di dalam analisis TPPA yang dibuat oleh ‘It’s Our Future’, negara kita, ya Malaysia disebut di dalam analisis tersebut secara jelas dalam bahagian Tobacco (tembakau). Ia menyatakan bahawa Malaysia mahu mengawal aspek tembakau dalam perjanjian tersebut. Namun ianya tidak mendapat sokongan. Saya tidaklah berapa pandai sangat ekonomi, tetapi saya lihat jika kerajaan kita terlepas pandang, kes Phillip Morris ini akan berulang. Bahkan ia akan menjadi situasi yang biasa.

Banyak lagi isu perlu dipertimbangkan terutama sekali dari segi kesannya kepada negara dan masyarakat setempat. Seperti kesan terhadap hakcipta, dominasi negara anggota TPPA yang telah maju seperti Amerika, Canada dan Jepun, isu privasi, isu kebanjiran pekerja professional dan bukan professional luar yang bakal mendominasi sektor pekerjaan negara, isu percukaian bagi eksport dan sebagainya.

Ancaman TPPA terhadap Malaysia - Sumber seperti tertera.

Ancaman TPPA terhadap Malaysia – Sumber seperti tertera.

Dengan masa singkat yang diberi untuk perbincangan setempat, kerajaan perlu bijak membuat keputusan dan bertindak rasional dalam mempersetujui sebarang terma yang boleh mengakibatkan konflik yang besar antara struktur kenegaraan Malaysia yang istimewa dan undang-undang antarabangsa yang bertentangan dengan struktur asal kenegaraan Malaysia. Jangan lupa enam tahun perundingan dilakukan secara rahsia. Apa yang cuba diselindungkan? Ada mendakwa template TPPA ini adalah template Amerika Syarikat. Adakah ini menjadikan negara-negara terbabit sebagai kuda tunggangan Amerika?

Jangan dengan alasan nak berkawan dengan negara-negara maju, nak bersaing dengan Vietnam ataupun inginkan nama tercatat sebaris dengan Amerika Syarikat, kita menggadaikan segala-galanya yang ada dalam negara selama ini. Perlu diingatkan perjanjian ini adalah perjanjian selama-lamanya. Walaupun TPPA menggunakan nama perdagangan bebas (free trade agreement), ada harga yang besar yang perlu kita bayar selepas menandatanganinya.

Pada pendapat saya, Amerika Syarikat memerlukan dana baru bagi meneruskan aliran kewangan negaranya. Dengan adanya TPPA ini, Amerika akan mempunyai satu sumber pendapatan baru yang perlu dicengkam kuat dengan perjanjian yang berat sebelah. Lebih-lebih lagi ianya hanya memberi keuntungan lebih kepada Amerika (dan juga sekutu-sekutunya) semata-mata.

Adakah ini satu penjajahan era baru?

                        

About author View all posts

aizen

2 CommentsTinggalkan komen

Leave a Reply

%d bloggers like this: